Kepala angin ranapkan warung sekelip mata

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

TANJUNG BIDARA 25 April – “Sangat terkejut sebab awalnya siang tadi sangat berbahang. Tetapi petang tadi tiba-tiba mendung disusuli angin kencang, sekali gus meranapkan warung saya yang berusia hampir 25 tahun.

“Mendung, ribut dan hujan datang serentak macam kepala angin, sekelip mata warung menjadi punca pendapatan saya yang memulakan semula operasi 1 Syawal lalu musnah,” kata pengusaha Sayang Beach Resort, Wan Helmi Yunos, 52, selepas warung terletak dihadapan chaletnya dipukul ribut, petang tadi.

Katanya, ketika kejadian dia sedang menguruskan pendaftaran masuk 10 pelanggan mahu menginap di chalet miliknya, namun tiba-tiba dia diduga dengan musibah berkenaan.

Selain bumbung roboh akibat dihempap dahan pokok, peralatan elektrik seperti peti ais dan perkakas dapur yang lain turut rosak menyebabkan Wan Helmi menanggung kerugian dianggarkan RM40,000.

Terdahulu bencana itu mendapat perhatian segera Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang turut padang meninjau kediaman rosak selain melawat mangsa terjejas.

Bagaimanapun Wan Helmi mengungkapkan rasa syukur kerana sempat memberikan kunci bilik kepada pengunjung bagi membolehkan mereka berlindung daripada ribut.

Menurutnya chalet berkenaan baru menyambung semula operasi selepas lebih sebulan tidak menerima tempahan sepanjang Ramadan.

“Alhamdulillah tempahan diterima kali ini 100 peratus penuh selepas Syawal menjelma dan rata-rata pengunjung datang secara ‘walk in’.

“Baru saja mahu merasa tempias limpahan rezeki Syawal kita diuji. Terus kekal bersabar dengan musibah yang berlaku dan berasa gembira serta bersyukur atas perhatian daripada Ketua Menteri yang bergegas datang ke sini untuk melihat bentuk bantuan apa yang dihulurkan,” katanya,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini, di Pantai Padang Kemunting, lewat petang tadi.

Dia difahamkan kerja kerja penyelenggaraan segera akan dilaksanakan esok hasil bantuan daripada Majlis Perbandaran Alor Gajah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3834
Kongsi :
Previous post Ops Sudan selamat bawa 30 rakyat Malaysia, 26 warga asing ke Port Sudan – Zambry
Next post Bakso Surabaya pengganti hidangan Aidilfitri
Ubah saiz-+=