17 kediaman rosak akibat ribut di Tanjung Bidara

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

TANJUNG BIDARA 25 April – Hujan lebat dan ribut melanda Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, di sini, jam 4.30 petang tadi menyebabkan 17 kediaman di tiga kawasan penempatan mengalami kerosakan pada bahagian bumbung.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, antara lokasi terjejas akibat ribut adalah di Kampung Ayer Hitam Pantai, Kampung Ayer Hitam Darat dan Padang Kemunting.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, kejadian ribut bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan terhadap mangsa yang berada di rumah ketika bencana alam itu berlaku.

“Saya sudah melawat mangsa ribut dan syukur alhamdulillah mereka semua berada dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan.

“Tindakan juga sudah diambil oleh Pejabat Japerun DUN Tanjung Bidara bagi proses membaiki kerosakan kediaman terutama pada bahagian bumbung,” katanya yang ditemui selepas melawat mangsa ribut di Kampung Ayer Hitam Pantai, petang tadi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Tanah dan Daerah Alor Gajah (PDTAG) serta Penghulu DUN Tanjung Bidara yang turun padang memberikan bantuan segera kepada kesemua mangsa terjejas.

Sementara itu tinjauan Melaka Hari ini setakat jam 6 petang tadi mendapati mangsa sudah mula membaiki kerosakan kediaman masing-masing berikutan risau berlaku hujan pada sebelah malam, sementara menunggu bantuan daripada agensi berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2564
Kongsi :
Previous post Elak mandi pantai Port Dickson ketika ombak besar, laut bergelora
Next post Dugaan petang 4 Syawal
Ubah saiz-+=