MAQIS rampas cili tanpa permit dari Indonesia

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KOTA LAKSAMANA 25 April – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas puluhan kilogram cili segar dibawa penumpang feri daripada Indonesia, baru-baru ini.

Pengarah MAQIS Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Nora Dinah Abdul Rahman berkata, rampasan dilakukan semasa pemeriksaan terhadap penumpang dari Indonesia di Terminal Feri Antarabangsa, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) berikutan tiada permit import disahkan pihaknya.

Jelasnya, tindakan penguatkuasaan itu amat penting bagi mengawal kemasukan variati benih dan serangga perosak berisiko menjejaskan industri pertanian negara.

“Sekiranya terlepas, perosak ini berpotensi menyebabkan pengusaha tanaman mengalami kerugian tinggi, terutama jika ada penyakit tidak terkawal turut dibawa bersama.

“MAQIS sentiasa berusaha memastikan kemasukan keluaran pertanian perlu mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan, sekali gus memastikan keselamatan makanan serta kesihatan manusia terjamin,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Nora berkata, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran hasil pertanian tanpa Permit Import MAQIS adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Katanya kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 11 (3) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Kami menasihatkan agar semua penumpang feri dari negara luar yang ingin membawa masuk produk-produk pertanian mematuhi segala peraturan dan syarat yang ditetapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

59
Kongsi :
Previous post Pusat Koreksional Jasin bantu tingkat pengeluaran nanas
Next post Pasukan khas JPJ pantau kenderaan lebih had muatan
Ubah saiz-+=