Dua individu rugi RM260,000 ditipu pegawai ‘KKM’

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 12 April – Polis Melaka menerima dua laporan membabitkan kes penipuan macau scam melalui penyamaran sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini dipercayai aktif mencari mangsa baharu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Superintendan E Sundra Rajan berkata, pada 8 April lalu pihaknya menerima dua lagi laporan baharu membabitkan kerugian hampir RM260,000.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan dijalankan modus operandi digunakan suspek adalah menghubungi mangsa dan memperkenalkan diri sebagai pegawai KKM.

Menurutnya, suspek kemudian memaklumkan kononnya butiran mangsa sudah digunakan oleh individu lain untuk pendaftaran sebagai penerima vaksin

“Mangsa juga akan disambungkan kepada pegawai polis kononnya bagi tujuan pengesahan, sebelum dimaklumkan butiran diri mereka terbabit dengan kes jenayah dan penggubahan wang haram.

“Kemudian sindiket akan meminta mangsa memberikan maklumat seperti nombor akaun, nombor pin dan kata laluan perbankan bagi tujuan semakan dan audit.

“Semua ini adalah taktik suspek untuk memperdayakan mangsa, jadi kami berharap orang ramai akan lebih berhati-hati jika dihubungi pegawai KKM,” katanya.

Menurutnya, bagi laporan dibuat di Balai Polis Batu Berendam kerugian membabitkan RM12,000 manakala laporan diterima di Balai Polis Simpang Ampat pula membabitkan kerugian RM247,642.

“Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang perkongsian maklumat peribadi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

799
Kongsi :
Previous post Dewan Serbaguna Taman Seri Kemendor berwajah baru
Next post Lans Koperal mengaku tidak bersalah tiga pertuduhan rasuah
Ubah saiz-+=