Dua kluster baru, 18 kematian di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH – 27 Julai – Dua kluster baharu direkodkan di negeri ini semalam di Daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Jabatan Kesihatan negeri dalam kenyataannya berkata, Kluster Industri Simpang Gading, Alor Gajah dicatatkan sebagai kluster tempat kerja.

Katanya, seramai 22 pekerja disahkan positif COVID-19 hasil pergaulan di ruang gunasama di sebuah kilang di kawasan terbabit setakat ini.

“Kluster kedua diisytiharkan adalah Kluster Lorong Hj Lamat membabitkan jangkitan penularan dalam komuniti menyebabkan 22 individu disahkan positif.

“Punca jangkitan adalah daripada kontak rapat kepada kes positif di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi JKN.

Sementara itu, terdapat pertambahan 373 kes positif baharu menjadikan jumlah kumulatif kes di Melaka meningkat kepada 28,467 kes.

Menurut JKN, kontak keluarga menjadi penyumbang terbesar kes harian di negeri ini iaitu 199 kes, diikuti kluster kilang (68 kes), saringan bergejala orang ramai (62 kes) dan tempat kerja bukan kilang (18 kes).

Selain itu, 315 kes sembuh direkodkan membabitkan 307 kes tempatan dan lapan kes import.

“Sebanyak 4,070 kes masih dirawat di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam dan swasta.

“Daripada jumlah itu, 87 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 22 memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, JKN Melaka turut memaklumkan terdapat 18 kematian akibat pandemik COVID-19, semalam, yang juga tertinggi di Melaka setakat ini.

“Jabatan Kesihatan mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa. Semoga segala urusan berkaitan arwah dipermudahkan-NYA,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

358
Kongsi :
Previous post Hishammuddin ambil alih pengumumam perkembangan harian PKP esok.
Next post Isu kesihatan awam, tindakan tangani COVID-19 tumpuan hari kedua sidang khas Dewan Rakyat
Ubah saiz-+=