Dugaan adik Faith Rizqi

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

PENGKALAN BATU 13 April – “Setiap kali terpandang benjolan itu sayu hati ini, ibu mana yang sanggup tengok anaknya sakit,” luah Nur Hafifah Aisyah Jamil, 25, ibu kepada bayi lelaki enam bulan yang menghidap masalah Lipoma.

Nur Hafifah, berkata anak keduanya Faith Rizqi Mohammad Faizzudin disahkan menghidap penyakit kelenjar itu sejak dua bulan lalu selepas benjolan dibelakang badannya semakin membesar.

Katanya, apa yang merisaukan dia dan suami, benjolan disebelah kanan belakang badan bayinya membesar dengan cepat dalam tempoh hanya dua bulan.

“Dua bulan lalu benjolan itu hanya sebesar syiling 20 sen, tetapi kini sudah sebesar buah manggis dan keadaanya itu menyebabkan Rizqi tidak selesa, dia kerap juga merengek.

“Apa yang membimbangkan kami adalah tarikh untuk berjumpa dan menjalani pembedahan masih lama lagi iaitu pada Jun depan.
“Sekarang sudah besar ini, kalau hendak tunggu lagi semestinya makin membesar mungkin juga berisiko,” katanya ketika ditemui dirumahnya di Bachang, di sini, semalam.

Suri rumah itu berkata, benjolan itu dikesan ketika bayinya berusia empat bulan dan awalnya dia dan suami menyangka masalah itu tidak serius dan surut seperti pernah dialami anak sulungnya sebelum ini.

“Sekarang nak pegang pun risau kerana benjolan itu nampak semakin tegang selain nampak urat. Alhamdulillah setakat ini Rizqi masih aktif.

“Dia masih berselera untuk minum susu dan makan, tapi apa merisaukan kami sekarang ini Rizqi kerap demam, batuk dan selesema,” katanya.

Berikutan itu dia dan suami amat berharap tarikh pembedahan Rizqi disegerakan meskipun terpaksa menyambut Aidilfitri di hospital.

“Sebelum ini doktor maklumkan tiada apa-apa cuma nanti prosedur rawatan hanya pembedahan kecil tetapi tempoh menunggu itu lama,” katanya.

Terdahulu pada 11 April lalu, dia dan suami menerima kunjungan Ziarah Kasih daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin.

Selain menyampaikan sumbangan, Kalsom yang juga EXCO Hal Ehwal Wanita memaklumkan akan cuba membantu agar bayi pasangan berkenaan diberikan rawatan segera.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

634
Kongsi :
Previous post TAJUK UTAMA AKHBAR: 13 APRIL 2022
Next post Presiden DMDI Bosnia terima gelaran Datuk
Ubah saiz-+=