Elak jadi wakil rakyat ‘mi segera’

DUYONG 9 November- Memasuki hari keempat berkempen, Calon Barisan Nasional (BN), Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali telah menemui lebih 20 peratus pengundi dalam kawasan terbabit.

Menurut Mohd Ridhwan, pelbagai kelompok masyarakat telah ditemuinya dan rata-rata mereka (pengundi) memberikan reaksi dan tindak balas positif.

Katanya, beliau optimis dan berjanji tidak akan menjadi ‘wakil rakyat mi segera’ yang hanya menemui rakyat setiap kali muncul musim pilihan raya.

“Kebanyakan dari pengundi-pengundi yang saya jumpa, ramai yang menasihati untuk menjadi pemimpin muda yang bebas rasuah dan tidak melupakan orang-orang tua dalam usaha untuk meraih undi orang muda.

8F367372-2739-451A-A972-007E4C0F354E
Calon BN Parlimen Hang Tuah Jaya (P.137), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali mengadakan sidang akhbar selepas berkempen di tapak pasar malam Duyong, Melaka. Foto: MR. AZLI

“Jika diberikan peluang sudah tentu saya akan sentiasa berada dalam kawasan dan akan lebih kerap bertemu masyarakat.

“Dan pada hemat saya, calon muda perlu ada sokongan dan dokongan daripada orang lama, kerana (dapat sokongan) muda sahaja tidak mampu untuk memberi perkhidmatan yang baik tanpa bimbingan orang lama.

“Dan ini adalah satu kombinasi yang baik di mana hasratnya adalah untuk membawa suara rakyat untuk didengari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Walkabout di Pasar Malam Duyong, semalam.

Tambahnya, berbaki 10 hari lagi, beliau akan cuba untuk bertemu semua pengundi-pengundi dalam Parlimen Hang Tuah Jaya untuk memberikan keyakinan dan memilih calon yang tepat.

“Lebih 118,000 pengundi dalam kawasan parlimen ini (Hang Tuah Jaya), saya mungkin tidak dapat jumpa semua, jadi kita guna inisiatif ‘trak led’ untuk pengundi kenal siapa calon Ahli Parlimen mereka.

“Trak tersebut akan melalui jalan-jalan utama dan masuk ke taman-taman dalam kawasan Hang Tuah Jaya ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

669
Previous post Bawa pelaburan besar, cipta peluang pekerjaan berkualiti
Next post Tiga penghuni cedera, bumbung asrama Wisma Anak Yatim runtuh