Elak perairan Melaka ‘dijajah’ ikan pendatang
SUNGAI RAMBAI 25 Mac – Demi kelangsungan ikan-ikan tempatan, orang ramai dinasihat untuk tidak melepaskan spesies ikan pendatang ke perairan negeri ini.
Pengarah Perikanan negeri, Mohd Fauzi Salehon berkata pihaknya telah membuat hebahan dan menampal notis-notis di mana ada ikan spesis asli dan tidak asli yang dibenarkan untuk dilepaskan di sungai-sungai.
Katanya, semua penternak ikan air tawar, nelayan dan kaki pancing di negeri ini digalakkan untuk menghapuskan ikan pendatang itu sekiranya mengesan kehadiran spesies berkenaan.
Ini kerana, katanya, spesies ikan pendatang seperti keli afrika, peacock bass, arapaima dan baung ekor merah bersifat karnivor dan mampu untuk beradaptasi dengan perairan sungai sedia ada dan sekiranya ikan pendatang itu dilepaskan juga spesis ikan asli akan pupus.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini tahap kesedaran mengenai spesies ikan pendatang sangat baik di Melaka kerana tidak banyak spesies pendatang itu dikesan di perairan negeri ini.
“Ikan pendatang atau ikan larangan ini kurang kuantitinya di Melaka, ada sedikit tapi tidak banyak, dan kita kenal pasti menerusi kajian yang dibuat di perairan sungai-sungai di Melaka di mana spesis tempatan masih ada dan spesis asing adalah kurang.
“Kita bernasib baik kerana warga Melaka ramai yang celik dan tahu ikan apa yang harus dipelihara dan ikan apa yang perlu dilupuskan.
“Jadi kita sarankan, penternak atau kaki pancing untuk melupuskan ikan pendatang ini bukan di sungai-sungai tapi di kawasan terkurung (kolam takungan yang tidak mengalir ke sungai) supaya spesis asing ini tidak menganggu ekosistem spesis tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian Beliau berkata demikian dalam sidang media Program Pelepasan Benih Udang Galah dan Penyerahan Bantuan Bencana Banjir Negeri Melaka di Laman Belia, di sini, semalam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.