Empat jeti di DUN Ayer Limau sedia terima pelancong

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

LENDU 17 Disember – Empat jeti nelayan di kawasan Ekopelancongan Paya Lebar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau selesai dinaik taraf bagi persedian menghadapi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)nya, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata semua jeti berkenaan kerja-kerja naik taraf keempat-empat jeti berkenaan sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan pembangunan pusat ekopelancongan berkenaan.

Katanya, peruntukan untuk menaik taraf keempat-empat jeti terbabit mendapat peruntukan daripada  Kerajaan Negeri dan pelbagai agensi.

“Jeti Telok Berembang di Lubok China dinaik taraf dengan bantuan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) manakala Jeti Pengkalan Tebing Urut bantuan diperolehi daripada Kerajaan Negeri dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Jeti Pangkalan Nelayan Paya Lebar mendapat bantuan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan satu lagi yang terbaharu iaitu Jeti Sungai Ramuan China Kecil mendapat sumbangan daripada Kerajaan Negeri.

“Kita juga telah menyediakan sebuah restoren terapung di Kampung Paya Lebar berdekatan Jeti Tebing Urut, bersebelahan Taman Lokan yang mana jeti berkenaan dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada 21 Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Melaka di Kompleks Sukan Masjid Tanah pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Ir Ismail Abd Rahman dan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Masrul Faizal Mohamad.

Img 4169
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer ketika ditemui pada Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2023 di Kompleks Sukan Masjid Tanah. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, bot-bot nelayan yang mempunyai lesen dan insurans di setiap jeti berkenaan turut digerakkan untuk membawa pelancong menelusuri kawasan ekopelancongan terbabit.

“Sekarang ini, kita juga meminjam separuh bot yang ada di Jeti Sungai Timun, Negeri Sembilan dan di Jeti Paya Lebar sendiri ada tiga bot yang sudah mempunyai lesen dan insurans khas untuk membawa pelancong.

“Di Jeti Telok Berembang sahaja ada hampir 60 bot nelayan tetapi bagi operasi sewa ada 30 buah manakala di Jeti Paya Lebar lebih kurang 20 hingga 30 bot, jadi keseluruhan bot yang menawarkan perkhidmatan sewa lebih kurang 100 bot (bagi keempat-empat jeti),” katanya.

Menurut Hameed, pembangunan yang dilakukan di semua jeti terbabit sekali gus memberi limpahan ekonomi baharu kepada masyarakat tempatan terutama golongan nelayan.

Katanya, nelayan tidak lagi turun ke laut pada hujung minggu sebaliknya menjalankan perkhidmatan sewa khas kepada pelancong.

“Hujung minggu pemilik bot memanfaatkan perkhidmatan sewa kepada orang luar yang mahu memancing dan melihat keindahan panorama sungai malah kehadiran pelancong juga meningkatkan pendapatan pemilik inap desa.

“Ini adalah satu perkembangan yang bagus untuk ekonomi baharu kepada masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1497
Kongsi :
Previous post 110 anak DUN Asahan khatan percuma
Next post Melaka mungkin kembali ke Liga Super
Ubah saiz-+=