Enam kedai terbakar di Pekan Umbai
TELOK MAS 11 Okt. – Enam kedai musnah dalam kebakaran di Kilometer 13.5 Jalan Muar – Melaka di sini sebentar tadi.
Kejadian pada jam 7.15 malam itu melibatkan kebakaran kedai menjual perkakas pembinaan, menjual barangan runcit dan kedai motosikal.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penguasa Kanan Bomba Izwan Arief berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada jam 7.15 malam sebelum menggerakkan 33 anggota bersama tiga jentera ke lokasi kejadian.
Katanya, ketika operasi pemadaman dijalankan, bomba berdepan kesukaran untuk memadamkan kebakaran berikutan kekurangan bekalan air, namun berjaya mengatasi masalah itu dengan bantuan bekalan air dari balai bomba terdekat.
“Siasatan awal mendapati struktur bangunan yang diperbuat dari kayu menyebabkan api marak dengan cepat, bagaimanapun tiada kecederaan melibatkan mangsa dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Izwan berkata, maklumat awal diterima sebanyak lapan kedai terbakar, namun selepas operasi kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.16 malam sebanyak enam kedai terbakar.
“Lima kedai terbakar dan musnah 100 peratus manakala satu lagi kedai mengalami kemusnahan 80 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintedan Mispani Hamdan berkata anggota polis yang berada di Pondok Polis Umbai bertindak mengarahkan penghuni mengosongkan bangunan sebelum ketibaan anggota bomba.
Jelasnya, susulan kejadian itu pihaknya menutup sementara laluan di lokasi kejadian bagi memudahkan operasi pemadaman dijalankan.