Enggan cerai Puteri Sarah, mahkamah perintah lantik JKP

Masa Membaca:2 Minit, 36 Saat

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini diberitahu Pengarah filem Syamsul Yusof enggan menceraikan isterinya pelakon Puteri Sarah.

Peguam syarie Roshdan Sujak yang mewakili Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof, 39, berkata pihaknya telah menerima permohonan penceraian itu, namun anak guamnya tidak bersetuju dengan permohonan tersebut.

Pada 16 Jan lalu, Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai dengan suaminya secara baik dengan kebenaran mahkamah di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 atas alasan mereka tidak ada persefahaman dan berlaku shiqaq berpanjangan serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri mengikut hukum syarak.

Sehubungan itu, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin memohon untuk melalui proses hakam keluarga tanpa melalui Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam permohonan perceraian itu.

“Anak guam (Puteri Sarah) mengatakan tiada prospek untuk menyelamatkan perkahwinan, mereka sudah lama tinggal berasingan, tiada komunikasi selain berlaku shiqaq berpanjangan. Oleh itu, pihak kami mohon untuk terus melalui proses hakam keluarga,” katanya.

Roshdan yang membantah perkara itu berkata kedua-dua pihak perlu melalui proses JKP terlebih dahulu sebelum melalui proses hakam keluarga.

Jawatankuasa itu terdiri daripada seorang pegawai agama sebagai pengerusi dan dua orang lain iaitu seorang untuk bertindak bagi pihak suami dan seorang bagi pihak isteri dan keutamaan diberi kepada saudara karib pasangan itu.

“JKP akan dipengerusikan oleh pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Tiada keadaan luar biasa untuk terus kepada proses hakam keluarga tanpa melalui proses JKP kerana masih ada sinar dalam hubungan mereka, jadi kita tidak boleh ‘langkau’ proses JKP,” kata Roshdan.

Akberdin kemudian berhujah prospek untuk anak guamnya bersama dengan defendan (Mohd Shamsul) adalah ‘sifar’ kerana defendan sudah lama tidak pulang ke rumah selain berpoligami tanpa meminta izin plaintif.

“Permohonan cerai ini sudah dua bulan difailkan, jadi saya mohon supaya mahkamah tidak membuang masa,” katanya.

Roshdan pula menjawab: “Saya mohon mahkamah meneruskan langkah tadi (JKP) dan saya ingin membetulkan fakta bahawa bukan anak guam saya yang keluar rumah tetapi plaintif”.

Akberdin berkata anak guamnya keluar rumah kerana dia dipukul defendan dan plaintif hanya pulang semula ke rumah selepas dipujuk oleh mentua.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan pasangan itu melantik wakil JKP selepas mendapati tidak terdapat keadaan luar biasa dalam permohonan Puteri Sarah supaya tidak melalui proses JKP, sebaliknya terus kepada hakam keluarga.

“Mahkamah menggunakan bidang kuasa untuk kedua-dua pihak merujuk perkara ini kepada JKP. Saya harap kedua-dua pihak memberi kerjasama kepada JKP kerana ia adalah laporan lengkap untuk diputuskan oleh mahkamah,” kata hakim itu dan menetapkan sebutan kes pada 10 April bagi kedua-dua pihak memaklumkan mengenai laporan JKP.

Pada prosiding itu juga, mahkamah menolak permohonan defendan supaya Puteri Sarah tidak mengeluarkan kenyataan berhubung rumah tangga mereka di luar mahkamah kerana permohonan tersebut adalah pramatang berikutan penghakiman telah dibuat.

Sementara itu, Puteri Sarah ketika ditemui pemberita berkata dia mahu Mohd Shamsul melepaskannya kerana tiada lagi sinar dalam rumah tangga mereka.

“Dia pun dah setahun block (telefon) Sarah, selepas setahun, ini kali pertama Sarah jumpa dia,” katanya dan menambah kejadian dia dipukul pada 2020.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5658
Kongsi :
Previous post Dua bot bertembung di Pangkor, tiga maut
Next post Isteri KM terima kunjung hormat PEKERTI NS
Ubah saiz-+=