Fairuzan dinobat Juara Sayembara Deklamasi Puisi

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BANDARAYA MELAKA, 25 Ogos – Pegawai Penerangan di Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Ketua Menteri Melaka, Fairuzan Abdul Majid, 38, menjuarai Sayembara Deklamasi puisi Kemerdekaan (SDPK) kali ke-34 sekali gus akan mewakli Melaka ke peringkat kebangsaan pada September nanti.

Beliau mendeklamasikan puisi ‘Abadikan Kesetiaan Kita’ karya Sani La Bise, membawa pulang hadiah kemenangan RM500 beserta hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Fairuzan yang berpengalaman luas dalam dalam lapangan puisi patriotik pernah menjuarai lapan kali pertandingan serupa di peringkat Negeri Melaka sejak 2005 selain mewakili Negeri Kelantan (2018), Negeri Sembilan (2015), WP Putrajaya (2012) dan WP Kuala Lumpur (2002).

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) Wilayah Selatan, Norhafizah Husin dalam acara peringkat akhir yang berlangsung di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM), Sabtu lalu.

Yang turut hadir Ketua Satu Persatuan Penulis Melaka (PENAMA), Datuk Wira Othman Muhamad dan isteri Datin Wira Halimah Baba serta Ketua 2 Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Amiruddin Md Ali.

Acara akhir menyaksikan sepuluh peserta berentap mempersembahkan puisi patriotik yang terkandung dalam Antalogi Tanggam Warisan.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Muhammad Suffian Khirham,19, yang mempertaruhkan sajak Citra Jiwa Merdeka karya Abdul Karim Ghullam dan Siti Nur Alia Safri, 24 turut mendeklamasikan sajak sama.

Pertandingan diadili barisan juri profesional, Aflieza Arshad selaku ketua hakim serta Ab Rani Embi dan Kamarudin Bakar.

Terdahulu dalam ucapan perasmian, Norhafizah berkata, seni puisi khususnya puisi patriotik tidak boleh dikesampingkan kerana ia turut berperanan menyemai rasa sayang warga terhadap negara.

“Semangat patriotik kebelakangan ini dilihat semakin luntur, justeru orang ramai khususnya generasi muda perlu memperhebatkan semangat ini agar terus bersemarak dan salah satu caranya adalah menerusi medium deklamasi puisi patriotik.

“Dalam masa sama, usaha penganjuran SPDK yang dimulakan oleh GAPENA sejak 1987 ini perlu dipuji kerana GAPENA terus konsisten menganjurkan acara berprestij ini dalam tempoh masa yang begitu lama.

“Sejak 2010 Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsan (SDPK) dijayakan dengan kerjasama DBP dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang seharusnya diraikan kerana ia satu kejayaan besar kerana GAPENA adalah gerakan rakyat,” katanya.

Views:

871
Kongsi :
Previous post Sambut Hari Kebangsaan 2020 cara sendiri
Next post M-WEZ mampu jana pelaburan RM100 bilion
Ubah saiz-+=