FAMA sasar JTDL raih nilai jualan RM11 juta

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

MERLIMAU 3 September – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM11 juta mampu diperolehi menerusi penganjuran Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) dilaksanakan seluruh negara, tahun ini.

Ketua Pengarah FAMA Malaysia, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, penganjuran JTDL seluruh negara menawarkan potongan lima hingga 10 peratus itu telah berjaya mengutip nilai jualan sebanyak RM7 juta setakat ini sejak perlaksanaannya pada Julai lalu.

Menurutnya, penganjuran yang dijalankan membabitkan beberapa lokasi terpilih seluruh negara dengan sasaran 855 pengoperasiannya menawarkan pelbagai barangan yang dijual dengan kadar termurah buat pengguna.

“Menerusi JTDL kita bergabung menerusi pelbagai jabatan dan agensi terlibat seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan sebagainya untuk menjual pelbagai barangan seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan menggunakan konsep jualan secara terbuka.

“JTDL yang dilaksanakan ini merupakan antara program yang dirangka oleh kerajaan supaya rakyat mendapat bekalan pada harga lebih murah sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup.

“Ia juga mampu memberi manfaat kepada rakyat mendapatkan tambahan bekalan makanan yang dijual dari ladang sekali gus memberi peluang kepada 15,000 usahawan tani yang terlibat di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) diadakan di sebuah kedai runcit di Jalan Kilang Berapi, di sini, hari ini.

Terdahulu, program itu dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Indusri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, FAMA komited bergabung bersama kementerian-kementerian lain bagi menjamin sekuriti makanan negara dan rakyat.

Beliau berkata, pelbagai penganjuran telah dilaksanakan menerusi kerjasama pelbagai kementerian bagi melestarikan hasrat berkenaan.

“FAMA sentiasa berusaha membantu rakyat menerusi pelbagai program dan tidak tertumpa dalam program-program sebegini (PJMKM) saja malah kita berusaha merentasi kementerian dan jabatan dalam membantu mencari bekalan tambahan di lokasi-lokasi terpilih seluruh negara.

“Malah FAMA juga terlibat dalam pengedaran barang-barang makanan untuk memastikan barang itu terus sampai kepada pengguna menerusi beberapa pengoperasian kita sepenuh masa di seluruh negara dengan penglibatan usahawan tani, agro bazar rakyat.

“Kita menggunakan dua kombinasi di mana selain program bersemuka juga perkhidmatan dalam talian menerusi vendor yang dilantik dalam e-commerce juga akan memastikan usaha ini sampai kepada pengguna dalam jaminan membantu memperkasa bekalan sekuriti makanan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1639
Kongsi :
Previous post Murahnya..RM20 dapat beras 10kg, minyak masak, tepung dan gula
Next post Batik Air dijadual mendarat di Melaka pada 12 September
Ubah saiz-+=