Sorting by

×

Batik Air dijadual mendarat di Melaka pada 12 September

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KOTA LAKSAMANA 3 September – Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dijangka menerima penerbangan pertama selepas tempoh lebih dua tahun pada 12 September ini.

Exco Pelancongan Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, penerbangan tiga hala membabitkan Pekanbaru (Indonesia)-Melaka-Pulau Pinang itu dijangka akan membawa rombongan Wali Kota Pekanbaru seramai 140 orang yang akan masuk ke Melaka.

Menurut beliau, penerbangan itu sepatutnya dijadual pada 12 Ogos lalu, namun ia terpaksa ditangguhkan sebulan atas sebab-sebab tertentu.

“Difahamkan frekuensi peberbangan laluan tiga hala ini akan membabitkan dua atau tiga penerbangan seminggu.

“Kita berharap jadual baharu ini tidak akan tertangguh lagi kerana misi Kerajaan Negeri adalah untuk merancakkan kembali sektor pelancongan khususnya menarik kehadiran pelancong antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Semarak Gemilang Daerah Melaka Tengah di Villa Sentosa Kampung Morten, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Penyelaras Japerun Kota Laksamana Datuk Abidullah Salleh dan Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Melaka Azman Musa dan Pegawai Penerangan Daerah Melaka Tengah Nooradha Hashim.

Muhammad Jailani berkata, selain penerbangan tiga hala itu, Kerajaan Negeri juga bercadang untuk menambah penerbangan dari negara-negara lain untuk mendarat di LTAM.

Katanya, perancangan setakat ini adalah untuk membawa masuk penerbangan dari Surabaya dan Jakarta, Indonesia, selain turut merancang penerbangan terus dari China dan India ke negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1970
Kongsi :
Previous post FAMA sasar JTDL raih nilai jualan RM11 juta
Next post Unit Kebudayaan Kampung Morten bakal ditubuhkan
Ubah saiz-+=