Gegau Jebat!

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

PENYOKONG Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) menyuarakan keterujaan untuk kembali ke stadium selepas kerajaan membenarkan kemasukan penonton ke stadium bermula 1 April depan.

Pengerusi Kelab Penyokong Batu Bata Melaka United, Ahmad Najmi Akbar Ali menyifatkan pengumuman itu berita baik untuk dirinya dan penyokong lain apatah lagi lebih setahun tidak menonton aksi skuad Hang Tuah secara langsung di stadium.

“Kami sudah tidak sabar untuk menyaksikan pasukan kesayangan kami beraksi di Stadium Hang Jebat secara langsung seperti dahulu.

“Sudah tentulah kami sebagai penyokong dan pemain ke-12 pasukan akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan arahan ditetapkan bagi memastikan kebenaran ini tidak ditarik semula,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Nada sama turut disuarakan pentadbir Kelab Tegar Melaka United, Rinkashi atau mesra dipanggil Abang Rin yang berpendapat kebenaran diberikan itu dapat membantu kelab menjana kewangan daripada jualan tiket.

“Inilah masanya untuk semua penyokong ‘menyerang’ semula stadium bagi memberi sokongan kepada pasukan kita.

“Secara tidak langsung ia juga sangat membantu pasukan untuk menjana kewangan yang diperlukan selepas ditransformasikan kepada penswastaan bermula tahun ini.

“Saya percaya kemasukan ke stadium ini perlu dipandang dari sudut positif. Andainya semua penyokong memberikan kerjasama yang baik dan mematuhi SOP, insya-Allah tidak akan wujudnya sebarang kluster stadium,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MUFC Datuk Mohd Saiful Mat Sapri merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan kerajaan membenarkan penyokong menonton perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) secara langsung di stadium.

Beliau memaklumkan pihaknya sudah bersedia dengan segala persiapan untuk menerima semula penyokong, termasuk bakal melancarkan satu aplikasi baharu MUFC bagi pembelian tiket dalam talian.

“Aplikasi baharu MUFC ini akan dilancarkan dalam masa terdekat. Di situ, penyokong bukan sahaja boleh beli tiket tetapi juga cenderahati dan mendapatkan pelbagai maklumat pasukan.

“Kita juga akan bermesyuarat dengan Polis Diraja Malaysia dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah serta agensi berkaitan untuk memastikan proses kemasukan penyokong di stadium berjalan lancar,” katanya dihubungi MHI.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan bersetuju membenarkan kemasukan penonton ke stadium bagi kejohanan sukan seperti Liga Malaysia mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkuat kuasa 1 April.

Kebenaran itu tertakluk kepada kapasiti stadium iaitu 10 peratus atau 2,000 orang di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pumulihan (PKPP) sebanyak 25 peratus kapasiti atau 8,000 orang dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

605
Kongsi :
Previous post Polis tumpaskan sindiket curi elektrik lombong bitcoin
Next post Busur dan panah Melaka dijual di Hungary
Ubah saiz-+=