Graduan kejuruteraan alih ke bidang usahawan elak pengangguran

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

DUYONG 14 Ogos – Bertukar bidang dari kejuruteraan kimia kepada perusahaan makanan bukanlah perkara mudah bagi menimba ilmu dalam menjana pendapatan keluarga.

Menurut usahawan muda Nur Hafizah Ab. Rahman, 30, perkara itu telah ditempuhinya sejak lima tahun lalu dalam memperkenalkan produk makanan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) melalui platform di atas talian.

Ujarnya yang merupakan graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu, beliau terpaksa mengatur langkah dalam mencari pekerjaan sebaik menamatkan pelajaran di universiti itu sejak lima tahun lalu.

Jelasnya, kebanyakan graduan hari ini terpaksa menganggur akibat desakan pekerjaan, malah baginya bidang kejuruteraan masa ini kurang mengambil lepasan universiti dan jawatan itu disandang golongan profesional menyebabkan tiada peluang dibuka buat graduan sepertinya.

“Sebaik menamatkan pelajaran, saya tidak mahu menganggur dan memutuskan untuk menjalankan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan di rumah.

“Menggunakan sistem agen dan perkhidmatan pemasaran atas talian melalui pelbagai platfrom media sosial saya menerima sambutan yang begitu menggalakkan dari pelanggan.

“Malah, sambutan ini tetap berterusan sehinggakan tidak menang tangan dengan permintaan pelanggan tatkala musim perayaan bermula.

“Alhamdulillah, sehingga hari ini saya lebih menumpukan jualan atas talian kerana pada hari ini ia begitu relevan dengan kehidupan seharian kita.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga saya menerima permintaan tinggi di pasaran atas talian sekali gus tidak menjejaskan pendapatan saya akibat pandemik tu malah sambutan begitu tinggi,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Menurutnya, setiap graduan perlu kreatif dalam menjana pendapatan selain daripada bergantung dengan kekosongan jawatan yang ditawarkan.

“Kita perlu kreatif sebab ilmu yang kita pelajari di universiti tidak sama dengan kehidupan kita kerana kita tidak tahu apa akan terjadi, jadi persediaan dalam menimba ilmu-ilmu baharu perlu diterapkan demi masa hadapan.

“Malah, kalangan wanita juga perlu lebih kreatif bagi menjana pendapatan sampingan keluarga

“Jadi, platform ini sangat bersesuaian khususnya kepada wanita di luar sana yang mempunyai masa di rumah dengan mempromosi produk sendiri selain mendapatkan maklumat semasa melalui platform berkenaan,” katanya.

Nur Hafizah antara usahawan wanita muda di negeri ini telah menjalankan perniagaan kuih tart dan ‘cookies’ dengan jenama Pineykiss yang kini bertapak di Kandang.

Views:

338
Kongsi :
Previous post Ekonomi Malaysia sedang pulih
Next post Masyarakat Orang Asli semarakkan Bulan Kebangsaan
Ubah saiz-+=