Masyarakat Orang Asli semarakkan Bulan Kebangsaan

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

ALOR GAJAH 14 Ogos – Kerajaan negeri sentiasa memastikan rakyat di negeri ini terus menyemarakkan semangat patriotik termasuk masyarakat Orang Asli.

Pengerusi Jawatakuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Latipah Omar berkata, pihaknya menjelajah ke Kampung Bukit Payung bagi memberi semangat kepada golongan itu menyambut Bulan Kebangsaan.

“Selain menyantuni masyarakat Orang Asli di kampung ini, kita turut mengedarkan Jalur Gemilang dan barangan keperluan asas.

“Usaha ini dilaksanakan Jabatan Penerangan Negeri bersama Japerun Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Merdeka@Komuniti di Kampung Orang Asal Bukit Payung, semalam.

Jelasnya, masyarakat Orang Asli juga diseru supaya mengibarkan Jalur Gemilang di rumah mereka khususnya di kampung sekali gus memupuk semangat kemerdekaan.

“Kita ingin pastikan seluruh masyarakat di negeri ini mempunyai semangat kibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Alor Gajah, Salina Hasan Abd Rashid berkata, program Info On Wheel @Merdeka akan menjelajah daerah Alor Gajah bagi menyemarakkan Bulan Kebangsaan.

“Kami cuba memberi yang terbaik dalam menyalurkan maklumat melalui unit hebahan dan memberi penerangan mengenai norma baharu Covid-19,” katanya.

Pada program itu, sebanyak 40 keluarga menerima sumbangan barangan keperluan harian.

Hadir sama, Pengarah Penerangan Negeri Melaka Mohd Rizal Hashim.

Views:

321
Kongsi :
Previous post Graduan kejuruteraan alih ke bidang usahawan elak pengangguran
Next post Datuk tiri lakukan seksual fizikal
Ubah saiz-+=