Graduan tak perlu daftar JobMatching@GREaT untuk cari pekerjaan – KPT

Masa Membaca:52 Saat

PUTRAJAYA, 5 Mac – Graduan yang belum mendapat pekerjaan tidak perlu mendaftar permohonan pekerjaan melalui JobMatching@GREaT kerana maklumat sedia ada dalam Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) akan dipadankan secara automatik dengan kekosongan jawatan yang ditawarkan pihak industri atau syarikat.

Menerusi kenyataan hari ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan sekiranya graduan terbabit layak serta memenuhi kriteria yang ditetapkan industri atau syarikat, graduan berkenaan akan disenarai pendek dan dipanggil untuk menghadiri sesi temu duga.

KPT berkata demikian bagi menjelaskan info yang tular di media sosial baru-baru ini bahawa graduan perlu mendaftar melalui JobMatching@GREaT bagi mendapatkan pekerjaan.

JobMatching@GREaT yang dilancarkan pada 28 Sept 2020 merupakan modul pemadanan pekerjaan menggunakan data SKPG bagi mengenal pasti graduan yang masih belum mendapat pekerjaan. Sistem tersebut memadankan kelulusan graduan dengan kerjaya secara automatik menggunakan kaedah tapisan multikriteria dan pemeringkatan.

Menurut KPT, sistem yang menggunakan tagline ‘Industri Jejak Graduan’ itu memudahkan pihak industri atau syarikat untuk menjejaki graduan yang belum mendapat pekerjaan tanpa perlu memohon pekerjaan seperti kebiasaan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

955
Kongsi :
Previous post Lebih 970,000 populasi kanak-kanak Malaysia terima vaksin COVID-19
Next post Konvoi 144km promosi pelancongan Melaka
Ubah saiz-+=