Guna kayu besbol samun warga emas

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KLEBANG 2 Mei – Sepasang suami isteri warga emas berdepan detik cemas apabila disamun dua lelaki bersenjatakan kayu besbol dalam kejadian di Taman Muhibah, Klebang Besar, di sini, pada Sabtu.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 10.45 malam, ketika pasangan suami isteri itu baru tiba dihadapan kediaman mereka selepas menghadiri seminar.

Menurut mangsa, Gan Chui Lan, 66, ketika suami turun dari kereta dan ingin membuka pintu pagar tiba-tiba sebuah motosikal dinaiki dua lelaki berhenti menuju kearah kereta.

“Kejadian berlaku amat pantas, penjenayah yang memegang kayu besbol memecahkan tingkap kereta dan meminta beg daripada saya.

“Saya yang ketika itu cuba selamatkan diri dengan keluar melalui pintu pemandu kemudian bertindak membaling beg ke dalam kawasan rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Muhibah, Klebang Besar.

Menurut warga emas itu, kerana terlalu nekad, seorang daripada penjenayah kemudian bertindak memanjat pagar rumah dan mengambil beg berkenaan.

“Suami turut dipukul oleh penjenayah menggunakan kayu besbol ketika dia menyuruh serahkan dompet.

“Ketika itu saya cuba menjerit meminta tolong tetapi mereka pantas kerana sebaik anak lelaki keluar mereka sudah lari dengan membawa beg dan juga dompet milik kami,” katanya yang kerugian wang tunai kira-kira RM400.

Ujarnya, akibat daripada kejadian itu suaminya mengalami lebam dibahagian lutut dan bengkak dijari manakala pipi kirinya pula calar akibat terkena serpihan kaca tingkap.

“Mujurlah kami tiada apa-apa, cuma kecederaan ringan sahaja namun begitu saya masih trauma serta teringat dengan jeritan penjenayah yang mahukan beg.

“Suami kemudian bergegas ke Balai Polis Batang Tiga untuk membuat laporan mengenai kejadian kira-kira jam 11.25 malam,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong berkata, pihak akan berjumpa dan meminta pihak polis untuk meningkatkan rondaan di kawasan taman perumahan berkenaan memandangkan sebelum itu terdapat kejadian pecah rumah.

“Akibat daripada kejadian jenayah ini ia secara tidak langsung menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk.

“Saya juga menyeru agar penduduk lebih berwaspada dan berhati-hati dengan individu yang tidak dikenali selain segera menghubungi pihak polis jika didapati berada dalam keadaan mencurigakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2026
Kongsi :
Previous post Gangguan bekalan gula di Pantai Timur pulih – Salahuddin
Next post Reezal Merican pengerusi baharu MATRADE
Ubah saiz-+=