‘Guru tak mahu vaksin perlu kaunseling’ – KM

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 4 Sept – Kerajaan negeri menegaskan supaya 41 guru Melaka yang menolak suntikan vaksin COVID-19 diberikan kaunseling dengan segera.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia dikhuatiri menimbulkan kerisauan kepada ibu bapa apabila ingin menghantar anak ke sekolah bermula Oktober ini.

SULAIMAN bersama 12 Pemuda UMNO Kota Melaka yang akan menyampaikan sumbangan makanan untuk pelajar Melaka di UniSZA dan UMT, di Seri Bendahara, hari ini.

“Sekarang ini boleh saya katakan daripada keseluruhan 13,000 guru, cuma kira-kira 600 guru lagi yang belum mendapat vaksin penuh tetapi mereka telah dapat dos pertama.

“Dan ada dalam kalangan guru yang tidak mahu divaksinkan lebih kurang 41 orang, jadi saya dah maklumkan kepada Pengarah Pendidikan Negeri panggil guru ini untuk kaunseling oleh motivator yang sepatutnya.

“Kedua panggil juga pegawai agama daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memaklumkan kepada mereka dan kalau boleh saya mahu 41 guru ini divaksinkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MHI selepas membuat pelepasan 12 Pemuda UMNO Kota Melaka bagi menyampaikan Sumbangan Makanan Pelajar Melaka di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Seri Bendahara, hari ini.

Dalam pada itu Sulaiman berkata, sehingga kini sebanyak 95 peratus guru Melaka telah divaksin.

“Yang tinggal mungkin tiga kategori seperti kakitangan sokongan, security dan pekerja awam, selebihnya sudah lengkap dua dos vaksin.

“Saya bimbang jika ada yang belum vaksin akan timbulkan kebimbangan terutama anak bawah 18 tahun yang tak boleh divaksinasi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

582
Kongsi :
Previous post Lima bangunan berisiko di Hospital Queen Elizabeth dikosongkan- Khairy
Next post 100 kit makanan untuk mahasiswa Melaka di Terengganu
Ubah saiz-+=