Hab Keusahawanan Morten Walk persis Eropah di Sungai Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

BANDARAYA MELAKA 20 Mac – Pembangunan pusat perniagaan baharu berkonsep moden persis di Eropah yang dikenali sebagai Hab Keusahawanan Morten Walk di Kampung Morten, di sini, dijangka bukan sahaja dapat memperkasakan sektor keusahawanan bahkan memberi nilai tambah kepada sumber ekonomi di negeri ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembangunan hab keusahawanan oleh UDA Holdings Berhad (UDA) dilihat mempunyai potensi besar di dalam pelbagai sudut memandangkan ia dibangunkan di kawasan bandar yang mempunyai lokasi strategik di tepian sungai.

Secara tidak langsung, jelasnya ia turut memberikan impak positif kepada sektor pelancongan Melaka yang sebelum ini sudah cukup terkenal sebagai negeri tarikan pelancong yang mempunyai nilai sejarah dan warisannya.

“Bagi saya, reka bentuk yang akan diperkenalkan itu sendiri sudah cukup menarik, ia kelihatan santai dan berada di tengah bandar serta tepi sungai yang mana rakyat zaman sekarang gemarkan lokasi seperti ini bagi tujuan bersantai dan lepak.

“Ia seolah-olah sama seperti di Eropah yang mana masyarakatnya gemarkan tempat yang santai dan mempunyai anjung dan kerusi-kerusi serta parasol di tepi sungai.

“Sudah tentu ia akan meningkatkan tarikan pelancong kepada Melaka dan memberi nilai tambah kepada segala usaha pelancongan yang sebelum ini terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Hab Keusahawanan Morten Walk di Kampung Morten.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Setiausaha MEDAC Datuk Suriani Ahmad dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Salhah Salleh.

Hab keusahawanan bernilai RM8 juta itu dibangunkan di atas tanah berkeluasan 1.67 hektar dan projek pembinaannya sudah dibuka sekarang dan dijangka akan mula beroperasi pada Oktober depan.

Ia menawarkan 100 ruang sewaan untuk usahawan meliputi lot berbentuk kabin dan lot promosi untuk perniagaan makanan, minuman, fesyen, aksesori, kedai pelbagai dan kedai teknologi maklumat (IT) selain dilengkapi sebuah dewan serba guna berkapasiti 500 orang dan 11 kemudahan tambahan seperti ruang seni dan kebudayaan serta pusat riadah kanak-kanak.

Sementara itu, Pengerusi UDA Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam ucapannya memaklumkan pihaknya selaku pemilik tanah dan penyedia ruang niaga, sedia menawarkan pelbagai bentuk bantuan kepada usahawan yang berminat.

Katanya, antara bantuan itu termasuk kadar sewaan di bawah harga pasaran serta insentif berupa kos pengurusan atau rebat sewaan dan manfaat fasiliti bagi menggalakkan usahawan tempatan berniaga di hab keusahawanan itu.

“Semoga ia dapat menjadi pemangkin dalam melahirkan lebih ramai usahawan di seluruh Malaysia selari dengan prinsip perniagaan UDA iaitu memperkasa gaya hidup lestari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

831
Kongsi :
Previous post Usahawan perlu tampil ‘intai’ peluang ditawarkan kerajaan
Next post Lokasi strategik, ‘lubuk’ rezeki usahawan
Ubah saiz-+=