Hakisan pantai: Melaka tunggu peruntukan pusat

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDA HILIR 24 Okt. – Kerajaan negeri menunggu peruntukan daripada pihak kementerian untuk menangani masalah hakisan pantai yang makin serius di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, pihaknya sebelum ini sudah membawakan isu berkenaan ke pengetahuan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pihak kementerian yang terlibat.

“Tempoh hari dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah dibentang lokasi ‘hotspot’ berlakunya hakisan pantai dan dikhuatiri akan jadi lebih teruk.

“Jadi, kita telah memohon kepada pihak Kementerian untuk menangani masalah ini (hakisan) kerana kita tidak mahu berlaku lebih banyak lagi kerosakan di kawasan pantai kita.

“Jadi, sekarang ini kita hanya perlu peruntukan sahaja untuk membaik pulih mana-mana kawasan yang berlaku hakisan sepanjang pantai di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan ke rumah penduduk yang terkesan dengan demam denggi, di Bukit Cina, di sini, pagi tadi.

Terdahulu, Melaka Hari Ini melaporkan beberapa kawasan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi dan Pantai Kundor mengalami masalah hakisan yang teruk selepas berlakunya fenomena air pasang besar, baru-baru ini.

Antara kawasan pantai yang terlibat ialah Tanjung Dahan, Teluk Gong, Kampung Tengah dan Pantai Puteri.

Terdahulu, Sulaiman telah menyampaikan
sumbangan RM10,000 bagi membantu pembangunan Masjid Imam Ghazali, Bakar Batu, di sini.

Beliau mengumumkan sumbangan berkenaan ketika hadir menunaikan solat Subuh bersama kira-kira 100 jemaah di masjid berkenaan, pagi ini.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan saguhati kepada ahli jawatankuasa masjid berkenaan dalam majlis yang diadakan serba ringkas.

Views:

1363
Kongsi :
Previous post Spekulasi darurat: KM minta rakyat jangan panik
Next post PPSPM lanjut tempoh MRC buat ‘frontliners’
Ubah saiz-+=