PPSPM lanjut tempoh MRC buat ‘frontliners’

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Okt. – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) melanjutkan tempoh promosi harga 50 peratus kepada ‘frontliners’ yang ingin menyelusuri Sungai Melaka menerusi perkhidmatan Bot Melaka River Cruise (MRC) sehingga hujung November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Datuk Murad Husin berkata, tempoh tersebut yang sepatutnya berakhir pada 31 Oktober ini dilanjutkan sebulan lagi bagi menggalakkan kehadiran pejuang barisan hadapan itu merasai keindahan menyelusuri Sungai Melaka.

“Antara lain, promosi menyusuri Sungai Melaka menerusi MRC dengan bayaran 50 peratus ini bermatlamat sebagai menghargai pengorbanan petugas-petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam mengekang penularan pendemik Corona Virus (Covid-19) yang sedang melanda bukan hanya di negara ini malah di seluruh dunia.

“Antara petugas frontliner yang disasarkan adalah kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), Southern West Management (SWM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Promosi ini bukan hanya melibatkan frontliners sahaja malah mereka boleh membawa empat orang lagi terdiri daripada ahli keluarga masing-masing dan mereka juga diberikan potongan harga 50 peratus,” jelasnya.

Menurutnya Murad lagi, para frontliners hanya perlu menunjukkan pas kerja masing-masing di kaunter tiket MRC dama ada di Taman rempah mahu pun di Dataran Muara Sungai Melaka dan mereka layak mendapatkan harga tiket promosi yang ditawarkan itu.

“Promosi yang ditawarkan ini hanya diberikan kepada golongan dewasa dan kanak-kanak sahaja, golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas dikecualikan.

“Antara objektif promosi ini diadakan adalah untuk menarik lebih ramai pengunjung, terutamanya pelancong domestik untuk berkunjung ke Melaka dan sementinya menaiki bot MRC.

“Promosi ini juga merupakan salah satu Tanggungjawab Sosial (CSR) PPSPM kepada frontliners di samping galakkan dan penghargaan kepada mereka yang telah bertungkus lumus dalam memastikan rakyat Malaysia selamat dalam menghadapi situasi Covid-19.” ujarnya.

Beliau memberitahu, pengunjung tidak perlu risau untuk menaiki bot MRC berikutan pengurusan PPSPM sentiasa memastikan semua langkah-langkah keselamatan dipatuhi dengan mengikut sop yang ditetapkan KKM.

Promosi Frontliners dan Keluarga Anda Dihargai ini telah dilancarkan oleh Exco pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis pada 6 Oktober lalu.

Views:

310
Kongsi :
Previous post Hakisan pantai: Melaka tunggu peruntukan pusat
Next post Masalah demam denggi di Banda Hilir perlu ditangani bersama
Ubah saiz-+=