Masalah demam denggi di Banda Hilir perlu ditangani bersama

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

BANDA HILIR 24 Okt. – Rakyat di negeri ini khususnya di sekitar Banda Hilir diminta melaksanakan gotong-royong secara bersama bagi menangani masalah demam denggi yang makin meningkat di kawasan berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, semua penduduk perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing dan tidak hanya bergantung harap kepada agensi dan jabatan berkaitan untuk menyelesaikannya.

Jelasnya, antara tindakan yang boleh dilakukan secara bersama ialah dengan membersihkan kawasan persekitaran dan longkang-longkang yang tersumbat yang sering menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Saya juga telah meminta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk menjalankan ‘fogging’ di kawasan ini dengan segera.

“Pada masa sama saya memohon semua penduduk untuk turun padang membantu dengan mengadakan gotong-royong di kawasan masing-masing bagi membasmi kawasan pembiakan nyamuk Aedes.

“Saya difahamkan bukan hanya ada demam denggi, tetapi penduduk juga mengadu mengalami sakit-sakit sendi akibat demam Chikugunya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke rumah penduduk yang mengalami kes demam denggi di Lorong Bukit Cina dan Jalan Temenggung, di sini, hari ini.

Selain masalah demam denggi, Sulaiman berkata, pihaknya juga akan meminta pihak MBMB menukar penutup longkang di sekitar Jalan Temenggung yang dikatakan kerap membawa bahaya kepada pejalan kaki yang lalu di kawasan berkenaan.

Views:

274
Kongsi :
Previous post PPSPM lanjut tempoh MRC buat ‘frontliners’
Next post Bahan binaan masjid lama Kampung Belimbing Dalam dipindahkan ke PERZIM
Ubah saiz-+=