Bahan binaan masjid lama Kampung Belimbing Dalam dipindahkan ke PERZIM

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

DURIAN TUNGGAL 24 Okt. – Bahan binaan masjid lama di Kampung Belimbing Dalam akan dipindahkan ke Pusat Konservasi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) di Banda Hilir menjelang Februari 2021.

Pengurus Besarnya Mohd Nasruddin Rahman berkata, pemindahan itu dilakukan sebagai inisiatif kerajaan negeri menerusi badan terbabit bagi memulihara masjid berkenaan daripada terbiar.

Katanya, pihaknya akan menjalankan operasi pemindahan itu secara berperingkat dengan teliti dengan memilih struktur bahan binaan yang masih elok untuk diletakkan di pusat tersebut bagi tujuan pembelajaran dengan usahasama konservator yang berdaftar dengan Jabatan Warisan Negara (JWN).

“Kita akan turunkan dari segi bahan binaan sebagai contoh, bumbung atau ’tile’, dan susun secara baik yang mana kita akan asingkan yang mana masih elok, ia akan dipindahkan ke Pusat Konservasi PERZIM di Banda Hilir,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di sini.

Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja Timbalan Pengerusi PERZIM Datuk Akramuddin Abd Aziz ke masjid berkenaan, hari ini.

Nasruddin berkata, pihaknya masih membuat kajian sama ada menjalankan pembinaan semula di lokasi sama atau di lokasi lain berdasarkan dokumen pembinaan semula dalam kajian yang dijalankan sejak tahun 2005. .

“Dari segi pembinaannya, bangunan masjid ini sama dengan surau di Pulau Gadong dan di Rembau, begitu juga di Parit Melaka.

“Kita sudah wartakan 56 buah masjid di Melaka dan masjid-masjid yang masih utuh, bagaimanapun masjid di Kampung Belimbing ini tidak diwartawakan kerana pada ketika itu (pewartaan), sudah 50 peratus bangunan itu sudah rosak jadi kita tidak boleh wartawakan,” katanya.

Views:

1033
Kongsi :
Previous post Masalah demam denggi di Banda Hilir perlu ditangani bersama
Next post Ranting pokok disangka ketam penuhi jaring
Ubah saiz-+=