Ranting pokok disangka ketam penuhi jaring

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

PANTAI KUNDOR 24 Okt. – Yang dihajatkan dua nelayan ialah ketam terjerat memenuhi jaring pada musim air pasang penuh, tetapi yang melekat pada jaring bukannya ketam, sebaliknya ranting pokok.

Tekong, Mohd Muszairi Mohamed, 34, dan awak-awak, Mohd Nur Arif Mohd Amin, 23, tidak menyangka sama sekali, ketam yang dihajatkan tetapi ranting pokok pula yang memenuhi jaring ketam yang dilabuhkan pinggir Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini.

Mohd Muszairi atau lebih dikenali dalam kalangan nelayan sebagai ‘Haji Kecil’ berkata, dia dan rakannya turun ke laut jam 7 pagi ini untuk menarik jaring ketam yang dilabuhkan di pinggir pantai, petang kelmarin.

“Pada musim air pasang penuh sejak empat hari lalu, kami mengharapkan hasil tangkapan meningkat kerana ketam gemar bermain di tepi pantai.

POKOK rhu tumbang di gigi Pantai Rombang, Tanjung Kling akibat hakisan pantai. Foto Din Ahmad

“Bagaimanapun, apabila kami menarik jaring, kami amat terkejut apabila mendapati jaring dipenuhi ranting pokok yang kami percaya dari pokok rhu yang tumbang ke dalam laut akibat hakisan pantai,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pantai Rombang, di Pantai Puteri semalam.

Beliau berkata, kejadian itu bukan setakat menyebabkan mereka tidak memperoleh rezeki, malah mengakibatkan jaring rosak kerana ranting berkenaan kukuh dan agak tajam.

Berikutan itu, mereka terpaksa menghabiskan dua jam semata-mata untuk menanggalkan ranting dan sampah-sarap daripada jaring, katanya.

Sehubungan itu, beliau terpaksa mendapatkan dana untuk membeli jaring baharu kerana jaring berkenaan sudah koyak rabak di kebanyakan tempat.

Pantai Puteri adalah satu daripada pantai yang menghadapi masalah hakisan pantai serius di negeri ini sejak Jun lalu, selain Pantai Pengkalan Balak di Masjid Tanah dan Pantai Telok Gong serta Pantai Tanjung Dahan di Kuala Linggi.

Pokok rhu yang ditanam kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Pantai Puteri pada awal 1990-an untuk memajukan industri pelancongan, kebanyakannya sudah tumbang akibat hakisan pantai.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, beliau sudah meminta kontraktor yang memotong pokok rhu yang tumbang dalam laut supaya memastikan tiada ranting ditinggalkan.

Katanya, ranting pokok yang dibiarkan dalam laut menyebabkan aktiviti menangkap ikan dan ketam di pinggir pantai terjejas.

Selain itu, ia juga menyebabkan nelayan tidak mampu menolak sungkur untuk menangkap geragau atau udang kecil akibat sungkur mereka dipenuhi ranting pokok.

Views:

849
Kongsi :
Previous post Bahan binaan masjid lama Kampung Belimbing Dalam dipindahkan ke PERZIM
Next post COVID-19: Melaka masih ikut SOP ditetapkan MKN
Ubah saiz-+=