COVID-19: Melaka masih ikut SOP ditetapkan MKN

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

BANDA HILIR 24 Okt. – Bukan satu isu sekiranya rakyat di negeri ini dikenakan kompaun RM1,000 ekoran kegagalan mematuhi arahan yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), termasuklah memakai pelitup muka di tempat awam.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama (Dr.) Haji Sulaiman Md Ali berkata, ini kerana sehingga kini, Kerajaan Negeri masih mengikuti SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Justeru, ujarnya, tidak seharusnya timbul kekeliruan yang mengaitkan ketetapan SOP sering berubah seperti didakwa segelintir pihak.

“Apa sahaja yang ditetapkan di peringkat persekutuan (MKN) kita akan ikut. Itu sahaja.

“SOP dari MKN mengatakan siapa tidak pakai face mask (pelitup muka) di tempat awam akan dikompaun RM1,000. Jadi kita terpaksa ikut arahan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas persoalan orang ramai mengenai tindakan anggota polis mengeluarkan kompaun kepada individu tidak memakai pelitup muka di stesen minyak seperti yang berlaku di Bukit Beruang, baru-baru ini.

Mengikut infografik yang dikeluarkan MKN, stesen minyak termasuk dalam kategori lokasi peruncitan yang sememangnya diwajibkan untuk memakai pelitup muka sepanjang tempoh PKPP.

Dalam pada itu, Sulaiman turut meminta orang ramai agar berwaspada dengan berita palsu seperti fitnah yang dilemparkan kononnya anggota polis menggari pemilik kedai yang tidak memakai pelitup muka seperti yang tular, baru-baru ini.

Views:

369
Kongsi :
Previous post Ranting pokok disangka ketam penuhi jaring
Next post Agong adakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat
Ubah saiz-+=