Hanya elakkan pertindihan dengan Persidangan Parlimen – Speaker

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 22 Ogos – Penangguhan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dijadualkan pada 6 sehingga 9 September depan disebabkan bagi memberi laluan kepada Persidangan Parlimen yang dipercayai akan dilaksanakan sekitar tempoh terbabit.

Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjelaskan penangguhan terbabit berikutan pihaknya difahamkan berlaku pertindihan tarikh dengan persidangan Parlimen dan kerajaan negeri perlu memberikan ruang.

“Persidangan DUN dijadual bermula sekitar 13 atau 20 September depan dan ini memerlukan persetujuan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam.

“Kerajaan negeri terpaksa menangguhkannya bagi mengelakkan pertindihan dan memberi laluan kepada Persidangan Parlimen ketika itu,” katanya dihubungi Melaka Hari Ini.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Pembangkang, Adly Zahari menyatakan kekesalannya selepas kerajaan negeri menangguhkan persidangan terbabit sedangkan sebanyak 110 soalan lisan dan 165 soalan bertulis telah dikemukakan kepada urusetia DUN.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu dilapor berkata, pelbagai soalan telah diajukan kepada kerajaan negeri berkaitan isu semasa khususnya berkaitan kesihatan dalam pengurusan wabak COVID-19, program vaksinasi, isu ekonomi, pendidikan dan kebajikan.

“Rakyat mahukan apa perancangan kerajaan negeri mengenai penjanaan ekonomi semasa dan selepas pandemik dan Sidang DUN sepatutnya menjadi wadah untuk perbincangan, perbahasan dan usaha menggembleng usaha semua pihak mendepani cabaran pandemik dan usaha terhadap pemulihan ekonomi rakyat.

“Penangguhan persidangan DUN tanpa alasan munasabah amatlah kami kesali,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

279
Kongsi :
Previous post Lee Hsien Loong ucap tahniah, pelawa Ismail Sabri lawat Singapura
Next post ‘Syukur boleh niaga semula’ – peniaga
Ubah saiz-+=