Lee Hsien Loong ucap tahniah, pelawa Ismail Sabri lawat Singapura
Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat
SINGAPURA 22 Ogos – Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong hari ini mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar Singapura memaklumkan Lee telah menghubungi Ismail Sabri menerusi telefon pagi ini.
Kedua-dua pemimpin itu turut mengulangi mengenai hubungan kerjasama yang mendalam antara Singapura dan Malaysia serta berharap dapat bekerjasama menghadapi cabaran termasuk pandemik COVID-19.
Sementara itu, dalam perutusan tahniah kepada Ismail Sabri, Lee mengundand rakan sejawatannya itu untuk mengadakan lawatan rasmi ke Singapura.
“Saya yakin bahawa hubungan kita akan terus kukuh. Saya berharap dapat bertemu dengan anda tidak lama lagi dan meningkatkan lagi kerjasama untuk kepentingan bersama.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mempelawa anda mengadakan lawatan rasmi ke Singapura untuk kita berbincang bagaimana kita dapat bekerjasama antara satu sama lain dan mengeratkan lagi hubungan persahabatan,” tulis Lee.
Lee turut yakin Malaysia akan terus maju di bawah kepimpinan Ismail Sabri.
“Kita miliki banyak persamaan dan rakyat kedua-dua negara juga mempunyai hubungan yang erat. Selama bertahun-tahun, Singapura telah bekerjasama rapat dengan pemerintah Malaysia untuk menghadapi cabaran bersama termasuk pandemik.
“Anda telah memberikan sumbangan yang penting dalam memperkuat kerjasama dua hala, termasuk mempengerusikan bersama Jawatankuasa Kerja Khas Malaysia-Singapura-Malaysia mengenai COVID-19,” kata Lee.
Lee dan isteri Ho Ching juga berharap Ismail Sabri dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dikurniakan kesihatan yang baik serta ceria selalu.
Ahli Parlimen Bera itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu (21 Ogos).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
346