Hanya pokok berakar tunjang akan ditanam di Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

SUNGAI RAMBAI 17 November – Kerajaan Negeri menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menetapkan hanya pokok berakar tunjang sahaja ditanam bagi tujuan landskap di seluruh negeri.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan berkata, perkara itu diputuskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam memastikan keselamatan nyawa orang awam, khususnya di lokasi riadah.

Katanya, menerusi mesyuarat itu turut diputuskan pembatalan dasar sedia ada mengenai cantasan pokok-pokok dalam negeri ini, yang mana ia telah mendapat persetujuan semua pihak.

“Kebanyakan pokok-pokok besar yang membahayakan nyawa, yang menimbulkan ketakutan pada orang awam adalah pokok berakar serabut.

“Justeru, berkuatkuasa semalam (16 November), PBT hanya akan menanam pokok-pokok hiasan daripada jenis berakar tunjang sahaja.

“Pada masa sama, PBT juga membuat keputusan untuk membatalkan dasar cantasan pokok. Dasar ini terpakai bagi pokok-pokok yang menimbulkan bahaya dan ia akan ditebang di mana penebangan pokok ini telah bermula di Pantai Puteri.

“Manakala, bagi pokok-pokok warisan yang berusia ratusan tahun seperti di Banda Hilir pula, ia akan dipotong separuh pokok, bermaksud tidak membunuh pokok cuma menyelenggara dengan memotongnya separuh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Program Sentuhan Masyarakat Aspirasi Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) bersama #KeluargaMalaysia tahun 2022 di RnR Sungai Rambai di sini, hari ini.

photo1668671167
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Datuk Zaidi Attan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata, untuk penyelenggaraan pula, beliau memaklumkan kesemua pokok diselenggara mengikut kategori saiz dan jenis.

“Penyelenggaraan dilakukan PBT secara berkala mengikut jenis pokok, seperti pokok-pokok renek, kita akan selenggara dua bulan sekali, manakala jika pokok itu didapati besar saiznya, manakala kerja selenggara akan dilakukan setahun dua kali,” katanya.

Tambah Zaidi, penjagaan dan penyelenggaraan pokok bukan hanya dilaksanakan oleh PBT sahaja, malahan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Perhutanan turut terpakai untuk melaksanakan dasar mencantas pokok yang mengancam nyawa.

“Agensi berkaitan seperti Jabatan Perhutanan turut terlibat dalam mencantas atau menebang pokok-pokok yang dilihat mengancam nyawa ini, sebagai contoh di laluan Sungai Udang menghala ke Masjid Tanah, Jabatan Perhutanan akan melaksanakan penyelenggaraan pokok-pokok tersebut sekiranya dilihat mengancam nyawa.

“Untuk memotong atau mencantas pokok ini, fokus PBT adalah di kawasan pelancongan, laluan persekutuan, laluan negeri dan seterusnya ke kawasan jalan raya, taman perumahan dan kampung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3168
Kongsi :
Previous post Pengundi muda pilih calon muda
Next post SMIC2022 jadi tapak permulaan teknologi pintar Melaka
Ubah saiz-+=