Harga barangan kemas melambung

Share and Enjoy !

Shares

KUALA LINGGI 11 Sept. – Untung berlipat kali ganda bagi sesiapa yang membeli barangan kemas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan mulai 18 Mac lalu, kerana harga melambung sekarang.

Pemilik rangkaian kedai emas Mekarla Gold, Zarina Zakaria berkata, anggota komuniti yang tidak dapat bergerak ke mana-mana ketika PKP, membelanjakan wang yang ‘terperap’ untuk membeli barangan kemas.

Beliau berkata, sepanjang minggu pertama PKP berlangsung, beliau masih mampu terperap di rumah tetapi apabila masuk minggu kedua, beliau sudah tidak mampu duduk diam, sebaliknya mula bergerak mencari pelanggan melalui perniagaan atas talian.

“Kalau ingin menjadi usahawan atau ahli perniagaan berjaya, kita tidak boleh duduk diam kerana sifat usahawan ialah sentiasa bergerak ke sana sini untuk memajukan perniagaan.

“Begitu juga dengan barangan kemas saya, daripada asyik terperap di kedai, lebih baik saya jual secara atas talian,” katanya ketika berdialog dengan 100 peserta Kursus Asas Keusahawanan anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) di sebuah resort di Kuala Sungai Baru, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Wira Mas Ermieyati Samsuddin, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Muhd Firdaus Azharuddin dan pemilik Putu Bambu World Mohamad Hasan.

Bagaimanapun, Zarina tidak menjelaskan harga barangan kemas ketika PKP mula dikuatkuasakan dan harga semasa.

SEBAHAGIAN daripada peserta Kursus Asas Keusahawanan anjuran INSKEN di Kuala Sungai Baru. – Foto Din Ahmad

Mohamad berkata, ketika PKP mula dikuatkuasakan, beliau berjaya mengawal kewangan syarikat berkat ilmu mengenai pengurusan kewangan yang ditimba dalam pelbagai kursus keusahawanan yang dihadiri sebelum itu.

“Saya yang tidak pernah membuat perniagaan atas talian, terpaksa menjalankan perniagaan atas talian untuk memastikan kelangsungan perniagaan.

“Alhamdulillah, berkat kesabaran dan kesungguhan menimba ilmu dalam perniagaan atas talian, kami dapat menempuh kesukaran ketika PKP,” katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, MEDAC sentiasa sedia membantu industri kecil dan sederhana (IKS) untuk mengembangkan perniagaan asalkan usahawan mempunyai semangat tinggi untuk mencapai kejaaan.

Sehubungan itu, beliau meminta peserta kursus supaya menimba sebanyak mana ilmu mengenai perniagaan bagi membolehkan mereka kekal berdaya saing dalam perniagaan.
Muhd Firdaus berkata, hanya dua atau tiga usahawan dalam kalangan 1,000 usahawan yang mampu membina perniagaan tanpa menimba ilmu melalui kursus keusahawanan.

“Kita manusia biasa yang tidak ada banyak ilmu dan kita harus menimba ilmu perniagaan sebelum kita terjun ke dalam bidang yang amat mencabar itu tetapi pulangannya sudah pasti lumayan jika kita berjaya menempuh pelbagai cabaran,”
katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru lebih ramai belia menghadiri pelbagai kursus keusahawanan sama ada anjuran INSKEN atau agensi kerajaan yang lain bagi memastikan mereka tidak kecundang di tengah jalan.

Views:

3

Share and Enjoy !

Shares
Previous post Sumbangan kebajikan RM40,000 disalurkan buat bekas polis
Next post MUSA kunjung hormat Presiden FAM