Sorting by

×

Sumbangan kebajikan RM40,000 disalurkan buat bekas polis

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

PENGKALAN BATU 11 Sept. – Sebanyak RM40,000 sumbangan diperuntukkan kerajaan negeri kepada Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Melaka bagi meringankan beban dan tanggungan kebajikan persatuan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Rahmad Mariman berkata, sumbangan yang disalurkan terbabit sekali gus memastikan kebajikan bekas perwira negara itu terjamin.

Katanya yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali itu, sumbangan terbabit seiring dengan
objektif asal penubuhan PBPM iaitu bertujuan untuk mengumpulkan bekas-bekas anggota polis bagi membantu serba sedikit mana-mana ahli yang tidak bernasib baik dan yang kurang sihat mengikut kemampuan mereka.

“Persatuan yang bergerak aktif ini menyalurkan pelbagai jenis bantuan buat ahlinya yang memerlukan termasuklah
kerusi roda, tongkat, bantuan khairat kematian serta lawatan jejak kasih ke rumah-rumah ahli yang uzur.

“Bukan itu sahaja,aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan adalah bersifat terhad dan mengikut keperluan setempat.

“Saya melihat semua ini bertepatan dengan matlamat utama PBPM iaitu menangani masalah sosio-ekonomi, membudayakan semangat dan sifat prihatin; membentuk sukarelawan korporat, pembelaan anak-anak yatim PBPM dan membentuk jati diri anak yatim PBPM.

Saya berharap matlamat ini dapat diteruskan bagi mengukuhkan lagi perpaduan dan keakraban di antara satu sama lain malah kerajaan sentiasa mengambil berat dan memberikan bantuan kepada bekas-bekas anggota polis yang telah bersara terutama kepada golongan warga emas.

“Sesungguhnya kesemua mereka ini perlu diberikan pembelaan sewajarnya dengan mengambil kira pengorbanan dan jasa-jasa anggota yang mengabdikan diri demi memastikan keamanan negara sentiasa terjamin,”katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmiannya Mesyuarat Agong Perwakilan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Melaka kali ke-44 di Dewan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC), semalam.

PBPM yang ditubuhkan mempunyai 136 cawangan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan keahlian kira-kira 100,000 orang dengan keanggotaan bekas polis dari unit Special Constable (SC), ‘Home Guards’ (HG), Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) dan Polis Bantuan.

PBPM Melaka yang bergerak aktif dalam kebajikan ahlinya di negeri ini telah mempunyai 4,800 keahlian berdaftar meliputi lapan pecahan cawangan di Melaka.

Views:

378
Kongsi :
Previous post Media tradisional disaran “upskill” dan “reskill” tenaga kerja
Next post Harga barangan kemas melambung
Ubah saiz-+=