Harga buluh bukan penyebab lemang mahal

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

MASJID TANAH 11 April – “Kalau nak kaitkan dengan buluh, memang harganya naik. Dulu kita boleh dapat sekabung dalam RM1.50 tapi sekarang RM2 hingga RM2.50.

“Kalau harga beras pulut pula ia lebih kurang antara RM46 hingga RM50 buat 10 kilogram (kg) dilihat naik begitu ketara kali ini,” kata peniaga lemang Zainurah Abdul Aziz, 62.

Dia berkata demikian ketika menjelaskan dakwaan segelintir pihak kononnya kenaikan buluh antara faktor mempengaruhi harga lemang yang kini dijual RM8 hingga RM25 sebatang mengikut saiz.

Pengusaha gerai menjual lemang di Lendu ini berkata, peningkatan harga lemang pada tahun ini dilihat tidak begitu ketara, malah setakat ini mereka juga tidak menerima rungutan daripada pembeli.

Katanya, buluh yang semakin mahal bukan punca utama kenaikan harga lemang dijual sebaliknya barangan mentah lain di pasaran.

Jelasnya, secara purata harga beras pulut, kelapa dan barangan basah seperti daging serta ayam meningkat berganda di pasaran.

“Tapi kerana kurangkan kos, kami pergi sendiri ke rumah penjual untuk ambil buluh barulah dapat harga murah seperti RM3 buat sebatang yang mempunyai kira-kira lapan kabung buluh.

“Namun kalau beli macam kadangkala ia bergantung kepada kualiti buluh. Ada buluh yang sangat nipis dan ada yang sangat tebal tidak sesuai digunakan untuk memasak lemang,” katanya.

ZAINURAH (duduk) usahawan lemang sejak lebih 40 tahun lalu meneruskan perniagaan keluarga dibantu anaknya,Norita Ismail,37 di Jalan Lendu, Masjid Tanah.

Selain itu dia juga membeli kelapa yang kemudian diproses menjadi santan bagi menjimatkan lagi kos pengeluaran setiap batang lemang.

“Pada kebiasaan untuk sekali jualan saya memerlukan sekurang-sekurangnya 100 biji kelapa. Malah jika saya beli kelapa bulat dalam kuantiti yang banyak saya juga mampu mengekalkan kualiti santan yang diperolehi kerana berbanding beli di pasar.

“Kualiti santan dijual ada yang kurang diyakini kerana kadangkala ia dicampur air dan cepat rosak,” katanya.

Biarpun harga lemang naik Zainurah mengakui tahun ini sambutan amat menggalakkan dan menjangkakan boleh mencecah lebih 1,000 batang pada hari mantai Aidilfitri nanti.

Sementara itu, perkara sama juga turut dikongsikan seorang lagi peniaga di Jalan Hutan Simpan Sungai Udang, Samsur Salleh, 44 yang mengakui kenaikan harga lemang bukan disebakan bekalan buluh semata-mata.

Jelasnya, sambutan terhadap jualan lemang tetap kekal tinggi sejak dia mula berniaga pada 1 Ramadan lalu.

Namun disebalik kenaikan harga bahan mentah, Samsur tetap menjual lemangnya pada harga sekitar RM8 hingga RM25 sebatang bergantung kepada saiz.

Samsur berkata, harga beras pulut juga meningkat mendadak sehingga lebih kurang RM5 hingga RM6 satu kg.

“Malah kenaikan ini juga bukan pada harga barang mentah tapi kayu api yang dijual pun naik mendadak yang kini bernilai RM300 buat selori kayu getah yang dipotong nipis.

“Kita akui harga barang mentah memang naik sehinggakan kita terpaksa naikkan juga harga rendang namun permintaan masih tetap sama seperti dahulu.

“Kebiasaannya pada awal Ramadan ini memang kurang sedikit permintaan berbanding menjelang Syawal nanti yang dijangka mampu dijual dari ratusan hingga ribuan batang lemang dalam tempoh sehari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2293
Kongsi :
Previous post Aidilfitri: Hanya 10 peratus pegawai, anggota polis dibenar bercuti – Bukit Aman
Next post Tiga dicekup curi gelung tembaga RM42,000
Ubah saiz-+=