Tiga dicekup curi gelung tembaga RM42,000

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

JASIN 11 April – Tiga lelaki termasuk seorang pengawal keselamatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan 21 gelung tembaga dianggarkan bernilai RM42,000 dari sebuah tapak pembinaan.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, kehilangan 21 gelung tembaga berkenaan disedari jurutera tapak pembinaan itu kira-kira jam 10 pagi, 7 April lalu dan laporan berhubung kejadian dibuat pada hari yang sama.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diterima, gelung tembaga berkenaan disimpan di dalam kontena di tapak pembinaan berkenaan sejak sebulan lalu.

“Susulan laporan diterima kami melakukan tangkapan pertama jam 10 pagi pada 8 April, membabitkan suspek berusia 35 tahun iaitu pengawal keselamatan bertugas di tapak pembinaan berkenaan.

“Dua lagi suspek berusia 31 dan 34 tahun iaitu bekas pengawal keselamatan di tapak pembinaan berkenaan dan seorang lagi yang tidak bekerja ditahan sekitar daerah ini hari yang sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diperoleh daripada suspek pihaknya ke sebuah premis membeli barangan terpakai di Batu Berendam dan berjaya menemui semula empat gelung tembaga dilaporkan hilang.

“Suspek menjual empat gelung tembaga berkenaan pada harga RM6,000 namun siasatan mendapati setakat ini baru separuh daripada jumlah bayaran diterima.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan 17 lagi gelung tembaga yang turut dilaporkan hilang,” katanya.

Mispani berkata, peniaga barangan terpakai berusia 41 tahun yang membeli gelung tembaga itu turut dikenakan tindakan kompaun kerana tidak memiliki lesen untuk berniaga.

“Semakan lanjut dilakukan mendapati kesemua tiga suspek mempunyai rekod lampau antaranya membabitkan kes jenayah dan dadah.

“Kesemua mereka kini direman lima hari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1239
Kongsi :
Previous post Harga buluh bukan penyebab lemang mahal
Next post Bantuan khas Aidilfitri kepada semua penjawat awam termasuk yang tidak dapat dos vaksin lengkap – PM
Ubah saiz-+=