Sorting by

×

Harga makanan bazar Ramadan mungkin naik tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

ALOR GAJAH 2 April – “Jangan bertindak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga tidak masuk akal,” itu nasihat diberikan EXCO Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem kepada peniaga khususnya mereka yang berniaga di pasar ramadan di negeri ini.

Beliau tidak menafikan terdapat kenaikan harga barangan mentah termasuk ayam, tepung dan telur namun kenaikan yang berlaku perlulah munasabah.

“Kita pun faham mereka tidak boleh ikut (harga jualan) tahun lepas sebab beberapa barang ada kenaikan mereka juga perlu menanggung kos.

“Tetapi biarkan berpatutan jangan terlampau dan jangan ambil kesempatan dalam bulan Ramadan ini pastikan ikut harga yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir di Karnival Jualan Keluarga Malaysia ‘Mantai Ramadan’ di Taman Melaka Perdana, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya berkata, bagi memastikan tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan atau berlaku kenaikan tidak sepatutnya pemeriksaan di pasar Ramadan akan dilakukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri.

“Untuk itu saya bersama kumpulan penguatkuasa akan turun ke pasar untuk memeriksa kadar harga jualan sebagai langkah kawalan.

“Walaupun belum terima aduan atau maklumat akan berlaku kenaikan (seperti negeri lain) namun kita pastikan tidak berlaku diluar jangkaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, selain pasar ramadan pihaknya juga akan melakukan tinjauan harga buffet ramadan di hotel khususnya.

Peniaga memotong daging yang ditempah pelanggan sebagai persiapan menyambut awal Ramadan di Karnival Jualan Keluarga Malaysia ‘Mantai Ramadan’ di Taman Melaka Perdana, Alor Gajah. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, peniaga daging lembu segar Ramli Burok, berkata, keputusan menaikkan harga jualan bukan suatu yang mudah kerana tindakan itu membebankan pembeli.

“Saya berniaga daging sudah 30 tahun dan kali ini antara yang paling tinggi dengan harga daging RM38 sekilogram manakala bahagian batang pinang mencecah RM40.

“Sebelum naikkan kita fikir orang kampung, kasihan untuk mereka yang tidak mampu walau naik antara RM2 tetapi terpaksa kerana dedak lembu memang naik harga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

816
Kongsi :
Previous post Piala Dunia 2022: Sepanyol, Jerman diundi dalam kumpulan sama
Next post Bayi meninggal di pusat jagaan: Polis terima arahan lanjut dari Pejabat Pendakwaan
Ubah saiz-+=