Hatten Land meterai perkongsian baharu, tambah 550 pelantar perlombongan kripto di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

MELAKA 31 Mac – Anak syarikat Hatten Land iaitu Hatten Edge menandatangani perjanjian dengan rakan perniagaan baharu yang akan membenarkan penambahan sehingga 550 pelantar perlombongan kripto di Melaka pada tahun ini.

Memetik laporan The Straits Times Singapore, kumpulan itu menyasarkan 50 set pertama mesin berkenaan akan dihantar menjelang akhir April, dengan pilihan untuk menghantar 500 lagi pelantar tambahan pada pada 2022.

Hatten Land berkata, mesin S19J Pro itu dihasilkan oleh pengilang pelayan perlombongan mata wang digital Bitmain yang mana ia berada di peringkat teratas dan dianggap sebagai salah satu pelantar perlombongan paling produktif serta cekap tenaga dalam pasaran.

Walaupun rakan perniagaan baharunya tidak dinamakan, Hatten Land berkata. entiti itu dan pemiliknya mempunyai ratusan pelantar perlombongan kripto yang beroperasi di Asia Tenggara, termasuk Semenanjung Malaysia, Malaysia Timur dan Laos, dan berusaha untuk mengembangkan operasi perlombongan kripto mereka bersama Hatten Land di Melaka.

Kedua-dua syarikat akan berkongsi hasil bersih mata wang kripto yang dilombong, selepas menolak perbelanjaan operasi dan pengurusan yang berkaitan.

Oleh itu, Hatten Land menjangkakan perjanjian terbaharu itu akan menyumbang secara positif kepada aset bersih dan prestasi kewangannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun.

Pengumuman berita itu menyebabkan saham Hatten Land naik 0.2 sen atau 4.7 peratus, kepada 4.5 sen pada 9.54 pagi Khamis (hari ini).

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusannya Colin Tan berkata, Hatten Land kini lebih lengkap dan berada pada kedudukan yang lebih baik berbanding sebelum ini untuk mengembangkan operasinya sejak memulakan aktiviti perlombongan kripto, awal tahun ini.

“Kemudahan perlombongan kripto ini berskala besar, berkualiti tinggi dan kos rendah yang sangat dicari di Malaysia.

“Dengan rekod prestasi yang semakin meningkat, kami menyasarkan untuk membina momentum ini untuk mendapatkan perkongsian baharu dan berkembang menjadi salah satu perlombongan mata wang kripto terkemuka di Asia,” katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan semalam, Hatten Land mengumumkan bahawa kumpulan berkenaan kini akan menerima mata wang kripto utama untuk transaksi penjualan hartanah, runcit dan hospitaliti di bawah portfolio hartanahnya, berikutan pembukaan semula sempadan antara Singapura dan Malaysia.

Hartanah utama Hatten Land kebanyakannya berada di Melaka.

Pembangunan terkini mereka di negeri ini ialah menerusi lima projek pembangunan bercampur bersepadu dan pusat membeli-belah runcit yang mempunyai gabungan kawasan binaan seluas enam juta kaki persegi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

879
Kongsi :
Previous post Penulis lirik lagu ‘Lelaki Teragung’ meninggal dunia
Next post Laporan kronologi kes pensyarah hina penuntut B40 tular, UiTM buat laporan polis
Ubah saiz-+=