Hayati ‘Malaysia Prihatin’ sebaiknya

AYER KEROH 16 Sept. – Tema ‘Malaysia Prihatin’ harus dihayati dengan sewajarnya kerana ia mempunyai maksud yang cukup mendalam buat rakyat Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali menerusi catatan ucapan Hari Malaysia di Facebook rasmi miliknya semalam berkata, sifat keprihatinan yang ada pada rakyat Malaysia tetap kukuh walaupun berhadapan dengan pelbagai ujian.

“Malaysia Prihatin yang diangkat sebagai tema sambutan Hari Malaysia pada tahun ini memberi makna yang cukup mendalam kepada kita semua rakyat Malaysia.

“Keprihatinan yang ada pada diri kita sebagai seorang warganegara terserlah dalam setiap ujian yang mendatang tanpa sesekali ikatan ini berasa goyah, sebaliknya ia terus menjadi asas kuat bagi penyatuan sebuah negara bangsa yang gemilang,” katanya.

Jelasnya, tarikh keramat pembentukan Malaysia merupakan saksi dalam pembentukan sebuah negara bangsa yang jitu dan sejahtera.

“Tanggal 16 September 1963 menjadi saksi penting pembentukan sebuah negara bangsa, sekali gus menjadi asas penyatuan semangat setiap negeri di dalam Malaysia untuk terus bergerak kehadapan demi berkongsi kemakmuran bersama.

“Tatkala kemajuan pesat arus pembangunan terus mencorak masa depan Malaysia, usah sesekali ia melentur identiti kesopanan serta keunikan kita dari segi adat resam, budaya, bahasa dan masakan hingga menjadikan kita sebuah yang begitu istimewa,” katanya.

Views:

63
Previous post Agong zahir ucapan Selamat Ulang Tahun ATM Ke-87
Next post Hanya RM500 untuk tempah PROTON X50