Hanya RM500 untuk tempah PROTON X50

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KUALA LUMPUR 15 Sept. – Berbekal RM500, orang ramai kini boleh menempah model terbaharu Proton Holdings Berhad (PROTON) iaitu Proton X50 di ruang pameran terpilih seluruh negara, bermula hari ini.

Proton X50 ditawarkan dengan enjin 1.5 liter turbo dalam empat varian iaitu 1.5T Standard, 1.5T Executive, 1.5T Premium dan 1.5 TGDi Flagship.

Ia dilengkapi kotak gear dwi-klac tujuh kelajuan, empat atau enam beg keselamatan, rim aloi 17 atau 18 inci, kerusi balutan fabrik atau kulit dan sistem infotainmen GKUI tahap 2 (bergantung kepada varian).

Ia ditawarkan dengan enam pilihan warna iaitu Putih Snow, Perak Armour, Kelabu Jet, Biru Ocean, Oren Citric dan Merah Passion.

Sementara itu, menurut kenyataan media PROTON, komuniti pembekal automotif Malaysia dijangka akan menerima manfaat dari pengeluaran X50 di kilang Tanjung Malim
dengan jumlah pembelian yang dianggarkan sebanyak RM1.8 bilion setahun.

Jelas kenyataan itu, Proton X70 akan memerlukan pembelian komponen sebanyak RM1 bilion, bermakna jumlah pembelian tahunan kedua-dua SUV PROTON ini akan mencecah RM2.8 bilion.

“Dengan adanya model baharu ini, PROTON menjangka ia akan mendorong kadar peningkatan jualan. Pandemik COVID-19 telah memberi kesan negatif kepada industri automotif, namun demikian, pada akhir bulan Ogos 2020, syarikat PROTON merupakan satu-satunya jenama automotif yang berjaya mengatasi jualan keseluruhan
berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas.

“Sebagai sebuah syarikat pengeluaran kenderaan tempatan, pertumbuhan jualan PROTON akan menambah perbelanjaan dalam ekosistem pembekal automotif dan secara langsung, ia juga akan menambah peluang pekerjaan. Ini amat penting memandangkan ekonomi Malaysia sedang mengalami pergolakan akibat kesan COVID-19,” jelas kenyataan terbabit.

Views:

445
Kongsi :
Previous post Hayati ‘Malaysia Prihatin’ sebaiknya
Next post Empat lelaki ditahan lakukan kekerasan ke atas polis
Ubah saiz-+=