Sorting by

×

Hilangnya ‘Legenda’ Kampung Jawa…

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

BANDA HILIR – Tidak akan ada lagi kemeriahan suara tawar-menawar atau ibu bapa melayan kerenah anak-anak yang merengek, itulah antara kenangan sebahagian besar orang Melaka yang hanya akan tinggal memori selepas Kampung Jawa, ditutup sepenuhnya 31 Mei ini.

Bagi orang Melaka Kampung Jawa menjadi lokasi tumpuan setiap kali tiba musim perayaan dan ibu bapa membeli barangan persekolahan anak masing-masing sejak sekian lama.

Lebih setengah abad Kampung Jawa menjadi syurga membeli belah bagi orang Melaka dan kewujudan deretan rumah kedai di situ adalah lebih awal berbandung premis perniagaan pencakar langit berhampiran.

Justeru, penutupan kawasan itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pelanggan, kerana banyak kenangan indah dan pahit ditinggalkan di Kampung Jawa.

Bagi pengunjung Nur Syafeka Mazlan, tertanya-tanya ke mana Kampung Jawa akan dipindahkan kerana baginya lokasi itu sebagai satu ‘legenda’ buat Negeri Melaka.

“Selama tiga generasi inilah tempat kami tuju untuk beli dan melakukan persiapan sebelum sekolah dibuka. Bemula dengan ayah, sekarang saya pula bawa anak beli pakaian seragam sekolah di sini.

“Harga pakaian harian yang ditawarkan di sini juga berpatutan dan sedap dipakai. Bagi saya Kampung Jawa adalah satu legenda, teramat sayang jika ditutup,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).

Sementara Salamah Mohamed, 63, meneruskan perniagaan pakaian daripada awrah suaminya sejak 2002 berkata, penutupan Kampung Jawa meninggalkan kesan yang amat mendalam buat dirinya.

“Hanya yang membesar di Kampung Jawa akan tahu. Terlalu banyak kenangan manis di sini terutama apabila pelanggan datang gembira kita jual barang pada harga yang murah.

“Tengok sahajalah meskipun kedai saya ini sudah uzur, tapi orang tidak pernah putus,” katanya.

photo_2023-01-12_16-00-57
Suasana perniagaan di Kampung Jawa, Melaka yang popular sebagai kawasan beli-belah barangan keperluan dan rumah sejak lebih 100 tahun lepas berikutan akan ditutup pada 31 Mei ini bagi memberi laluan kepada pembangunan projek baharu. Foto Iqmal Haqim Rosman

Manakala peniaga pakaian Koh Lian Neo, 70, bertapak di situ sejak 40 tahun lalu berkata, Kampung Jawa bukan sekadar lokasi perniagaan sebaliknya ‘jambatan’ untuk dia bergaul mesra dengan pelanggan dalam kalangan pelbagai bangsa.

“Sejak ambil alih perniagaan ini daripada ibu mentua memang saya jumpa ramai kawan Melayu daripada Melaka dan luar Melaka pun ada di sini.

“Pemilik tanah mahu ambil semula kawasan ini, jadi kami kena hormati perkara itu. Namun saya harap kerajaan boleh bantu cari penempatan yang baharu atau kekalkan warisan Kampung Jawa,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Sulaiman Omar, 61 berharap keprihatinan Kerajaan Negeri nanti akan memberi sinar kepada peniaga sepertinya.

“Sejak berusia 15 tahun saya berniaga di sini, tentulah runsing memikirkan nasib selepas ini tetapi saya difahamkan wakil Kerajaan Negeri akan turun dalam waktu terdekat bagi mendengar permasalahan kami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3599
Kongsi :
Previous post Pegawai dan dua anggota bomba cedera ketika padam kebakaran kilang
Next post Had laju jalan persekutuan dikurangkan 10km/j sempena Tahun Baharu Cina
Ubah saiz-+=