Hospital Medan ATM akan dibina di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BATU BERENDAM 9 Julai – Rentetan keadaan fasiliti Hospital Melaka berada pada paras kritikal sebuah Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal dibina dalam masa terdekat.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pembinaan hospital medan di Hospital Jasin itu untuk dijadikan lokasi bagi merawat pesakit bukan COVID-19 di negeri ini.

Katanya, pembinaan itu sekali gus mampu memberikan kemudahan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menumpukan sepenuhnya merawat pesakit COVID-19.

RAHMAD Mariman.
Foto: MR. Azli

“Terima kasih kepada kerajaan pusat berikutan meluluskan permohonan negeri ini bagi mewujudkan hospital medan selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam.

“Dengan kewujudan hospital medan ini ia mampu membantu KKM bagi merawat pesakit bukan COVID-19 dan mampu menempatkan kira kira 100 pesakit dalam satu-satu masa.

“Fasiliti di Hospital Melaka semakin kritikal selepas hampir setiap ruang di hospital itu termasuk bilik mesyuarat, stor sehinggakan terpaksa mendirikan khemah di ruang parkir ambulans untuk dijadikan ruang merawat pesakit COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau hari pertama pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini, hari ini.

Semalam kerajaan menerusi mesyuarat MKN telah meluluskan dua lokasi bagi membina Hospital Medan ATM iaitu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor dan di Melaka bagi menyokong kesiapsiagaan fasiliti kesihatan untuk merawat pesakit di negeri masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

531
Kongsi :
Previous post ‘Pomen’ bantu orang susah
Next post COVID-19: Kilang elektronik Batu Berendam tutup kali ketiga
Ubah saiz-+=