‘Pomen’ bantu orang susah

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 9 Julai – Prihatin nasib golongan terkesan pandemik COVID-19, Persatuan Usahawan Automotif Negeri Melaka tampil menyalurkan kit makanan menerusi program ‘Kasih Pomen Melaka’.

Pengerusinya, Mohd Haizahry Nordin, 39 berkata, awalnya dia bersama rakan-rakan ingin menyalurkan sumbangan buat ahlinya yang terkesan, namun setelah diteliti ramai rakyat juga memerlukan.

 

“Sebenarnya sumbangan kit makanan ini adalah dana yang terkumpul sejumlah RM3,000 dari ahli-ahli dan orang perseorangan.

“Kami nekad untuk memberi sumbangan barangan keperluan bernilai RM100 yang mana terdapat beras, tepung, gula, bihun, sardin dan lain-lain.

“Agihan bermula Ahad ini sebanyak 50 kit makanan, jika ada rezeki kami akan sumbangkan lagi 50 kit makanan pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi MHI.

Haizahry berkata, bagi pemilihan penerima sumbangan, ia bergantung kepada data diberikan ketua kampung serta rakan-rakannya.

“Setakat ini 10 ahli kami yang terkesan kerana tidak meneruskan operasi bengkel akan terima bantuan dan 40 lagi penerima dipilih ketua kampung dan rakan di setiap lokasi berdekatan.

“Kami tidak membuat hebahan di media sosial kerana khuatir jika ada orang yang cuba mengambil kesempatan atas sumbangan ini,” katanya.

BERAS antara barangan keperluan yang disalurkan.

Katanya fokus utama persatuan itu adalah untuk mencari sendiri golongan memerlukan atau orang yang benar-benar susah.

“Jika ikutkan kerja memang tak dapat nak fokus 100 peratus beri bantuan, tapi bila betul-betul nak buat, kita usahakan juga dan cari sendiri mereka yang memerlukan.

“Kit makanan ini akan diberikan di kesemua daerah di negeri ini, Insya-Allah jika ada peruntukan kita akan buat lagi,” katanya sambil menambah setakat ini terdapat 80 ahli dibawah persatuan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

788
Kongsi :
Previous post Melaka masih jauh ke Fasa 2 PPN
Next post Hospital Medan ATM akan dibina di Melaka
Ubah saiz-+=