Imam surau didakwa lakukan amang seksual, berbogel depan kanak-kanak

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 14 Jun – Imam sebuah surau di Limbongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan amang seksual termasuk berbogel di hadapan kanak-kanak perempuan, bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh berusia 60 tahun didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun dan 13 tahun lapan bulan di surau berkenaan pada 28 Mei lalu.

Kesalahan pertama dilakukan antara jam 3.30 hingga 5 petang, manakala kesalahan kedua dilakukan pada jam 5 hingga 5.30 petang di dalam stor surau berkenaan pada hari yang sama.

Bagi kesalahan itu tertuduh yang bertugas sebagai imam 3 didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama yang mana jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dihukum sebat.

Tertuduh warga emas itu juga didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal bagi maksud seksual dengan berbogel di hadapan mangsa sama berusia 13 tahun lapan bulan di tempat dan waktu sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Mazana Sinin, tertuduh turut berdepan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana menyimpan video lucah dalam telefon bimbit.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Muhammad Mustapa kemudiannya merayu agar jaminan rendah dapat diberikan dengan alasan sudah berusia dan mempunyai penyakit gout.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM23,000 dan menetapkan tarikh 15 Julai sebagai sebutan semula keempat-empat pertuduhan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin dan Sharina Farhana Nor Sa’ari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1907
Kongsi :
Previous post LHDN kesan 31,598 entiti tidak lapor pendapatan sebenar
Next post Hamid Gurkha meninggal dunia
Ubah saiz-+=