Impian jadi pegawai bomba tercapai
AYER KEROH 2 April – Impian zaman remaja Mohd Hafiz Hakmi Khalid untuk menyarung pakaian seragam bomba, bukan sahaja menjadi kenyataan lebih manis dia dinobatkan sebagai pelatih terbaik.
Mohd Hafiz, 21, menerima Anugerah Terbaik Keseluruhan pada Majlis Pentauliah Kursus Asas Pegawai Bomba Bantuan Siri 1/2022 di Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, semalam.
Berkongsi kegembiraannya anak kelahiran Kulai, Johor itu berkata, dia telah lama mengimpikan cita-cita untuk bergelar pegawai bomba.
“Setelah tamat sekolahan menengah, saya melanjutkan pengajian di kolej vokasional dan selepas itu saya tidak tahu apa mahu dibuat, tidak ada haluan hidup.
“Sewaktu bekerja sementara salah sebuah kilang di Kulai, saya terbaca iklan mengenai pengambilan pegawai bomba bantuan, lalu cuba nasib dan menghadiri temuduga.
“Alhamdulilah, saya diterima dan diarahkan menjalani latihan selama 10 hari. Syukur segala jerih perit latihan berbaloi, akhirnya impian saya tercapai juga,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).
Mohd Hafiz antara 40 pegawai bomba bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menamatkan kursus tersebut bermula 21 Mac lalu.
Pentauliahan disempurnakan oleh Pengarah JBPM Melaka, Abu Bakar Katain.
Menurutnya demi cita-cita dan impian dia tenang menghadapi setiap ujian getir sepanjang 10 hari menjalani latihan tersebut.
“Saya pastikan setiap arahan dan ujian dipatuhi dengan jelas, paling penting disiplin diri perlu ada dalam setiap pelatih.
“Jika semua arahan dan ujian diikuti dengan sebaiknya maka tiada masalah atau rintangan yang sukar diatasi,” kata anak kedua daripada lima beradik itu.
Kini dia mahu menghalakan tumpuan hidup dan masa depan terhadap kerjaya sebagai seorang pegawai bomba dan memberi kualiti serta mutu perkhidmatan terbaik kepada orang awam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.