Sorting by

×

‘Jangan tuba sungai kami’

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER LIMAU 2 April – “Jangan menuba di sungai kami kerana kami mahu ia kekal sebagai tempat pembiakan ikan dan udang galah.

“Kami sanggup mempertahankan sungai kami daripada menjadi mangsa kerakusan manusia dan jika ada sesiapa menuba atau menangkap ikan dan udang dengan cara salah, kami sedia menyalurkan maklumat kepada Jabatan Perikanan,” kata Sukarelawan Perikanan Darat, Maulud Idris, 60.

Dia berkata, Sungai Rembau, Sungai Ramuan Cina dan Kuala Linggi, di Lubok Cina dekat sini adalah antara sungai utama nelayan darat mencari rezeki sejak turun-temurun.

Katanya, nelayan tempatan juga sering menasihati kaki pancing yang datang dari luar supaya tidak melakukan perkara berkenaan.

“Kami beritahu mereka supaya memancing atau menjaring dengan betul dan bukannya membuang racun tuba ke dalam sungai semata-mata untuk meraih keuntungan jangka pendek,” katanya selepas majlis pelancaran Sukarelawan Perikanan Darat di Pangkalan Nelayan Kampung Ramuan Cina Kecil, baru-baru ini.

Seramai 20 nelayan darat daerah Alor Gajah dan 10 dari Jasin dipilih menganggotai sukarelawan berkenaan.

Mereka berfungsi menyalurkan maklumat kepada jabatan berkenaan jika ada ada pihak tertentu menangkap ikan dengan menggunakan kaedah dilarang.

Sukarelawan, Jalil Hassan, 61, berkata selain menuba, nelayan darat tidak mahu ada pihak tertentu menggunakan bubu naga untuk mendapatkan ikan dan udang galah lebih banyak berbanding menggunakan kaedah konvensional.

“Bubu naga menyebabkan anak ikan dan anak udang galah terperangkap dalam bubu dan akhirnya tiada lagi sumber ikan dan udang galah untuk kami tangkap buat menyara keluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1461
Kongsi :
Previous post Impian jadi pegawai bomba tercapai
Next post Melaka, Negeri Sembilan, Perlis catat skor tinggi bandar bahagia
Ubah saiz-+=