Institusi pendidikan, pemain industri bekerjasama perkasakan TVET

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PAYA LEBAR 17 Ogos – Pemain industri dan institusi pendidikan perlu bergerak seiring dalam usaha memperkasakan kebolehpasaran graduan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Jurutera Computational Fluid Dynamics (CFD), Dr Ahmad Syahid Ahmad Fawzal berkata, pemain industri dan institusi pendidikan sebenarnya saling bergantung antara satu sama lain dalam usaha memperkasakan TVET di negara ini.

Katanya, meskipun kerjasama kedua-dua pihak itu ketika ini dilihat masih perlahan, namun tetap menunjukkan peningkatan.

“Saya harap pemahaman masyarakat mengenai TVET ini meningkat. Bidang kemahiran adalah satu laluan kerjaya.

“Bagi bidang akademik lebih kepada teori dan kajian, tetapi TVET melahirkan tenaga kerja mahir yang mempunyai kemahiran.

“Saya harap ini permulaan untuk kita sedar, supaya dalam tiga hingga lima tahun akan datang pelajar memilih bidang ini bersedia menggunakan pengetahuan terutama membabitkan sistem hibrid, bateri bervoltan tinggi dan kenderaan elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyampaikan ceramahnya pada program Simposium Automotive 2022 di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah KKTM Masjid Tanah, Shabudin Said dan Ketua Jabatan Program Automotif KKTM Masjid Tanah, Ahmad Shahizam Abd Rahim.

Sementara itu, Ahmad Shahizam berkata, pihaknya kini sedang memperkasakan bidang pendidikan kenderaan elektrik dan autonomi (tanpa pemandu).

Berikutan itu katanya, usaha sedang dijalankan untuk mengeratkan lagi kerjasama antara KKTM Masjid Tanah dan pihak industri bagi memastikan graduan dilahirkan menepati kehendak pasaran kerja masa akan datang.

“Selain meneroka dan menguasai kemahiran kenderaan elektrik, pelajar juga didedahkan dengan kemahiran komputer dan peluang perniagaan.

“Buat masa ini juga kita sedang menjalankan kajian dan evolusi mencipta kenderaan tanpa pemandu.

“Tetapi perkara ini masih diperingkat awal kajian yang melibatkan pelbagai aspek termasuk fizikal kenderaan, keselamatan dan pelbagai lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2121
Kongsi :
Previous post Remaja 17 tahun didakwa seludup 25 warga Myanmar dalam Toyota Vellfire
Next post Dua warga emas melambung dilanggar Proton Saga
Ubah saiz-+=