Insya-Allah tiada masjid, surau daif di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BUKIT BARU 10 Mei – Semua pihak berkenaan diminta untuk bersama-sama menyalurkan maklumat atau membuat laporan jika ada masjid, surau atau mana-mana institusi agama Islam di Melaka yang berada dalam keadaan daif.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, maklumat itu amat berguna bagi tindakan lanjut daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) termasuk melaksanakan kerja pembaikan, menaik taraf atau membina baharu kemudahan tersebut.

Rahmad berkata, MAIM menyediakan peruntukan berjumlah RM3 juta bagi tahun ini untuk memastikan semua institusi agama Islam di Melaka berada dalam keadaan baik dan memberikan keselesaan kepada orang ramai.

“Kebiasaan terdapat dua kaedah untuk penyaluran sumbangan pembaikan dan pembinaan baharu ini iaitu pertama melalui permohonan daripada jawatankuasa masjid atau surau itu sendiri.

“Selain itu wakil MAIM sendiri turun padang mengadakan lawatan dan penilaian teknikal, jika semuanya mengikut syarat ditetapkan insya-Allah tidak ada masalah untuk menyalurkan peruntukan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan Sumbangan Pembaikan Dan Pembinaan Masjid, Surau Negeri Melaka BIL 1/2024 di Dataran Pusat Islam Melaka, di sini, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata, menerusi sumbangan disalurkan itu diharap dapat membantu sedikit sebanyak kariah dalam menampung sebahagian kos pembinaan atau pembaikan masjid atau surau.

“Apabila persekitaran masjid atau surau dalam keadaan kondusif, jemaah akan lebih selesa untuk melaksanakan ibadah.

“Ingin juga saya ingatkan bahawa tujuan asal sumbangan ‘one-off’ diberikan ini adalah untuk menampung jumlah kutipan jawatankuasa masjid dan surau, bukannya menampung keseluruhan kos pembaikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

109
Kongsi :
Previous post ‘Everlasting Blooms’ warnai Melaka Jun depan
Next post ‘Dating’ sampai ke dalam sungai
Ubah saiz-+=