‘Everlasting Blooms’ warnai Melaka Jun depan

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PAYA RUMPUT 10 Mei – Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) bakal diwarnai dengan tarikan keindahan landskap berkonsepkan taman bunga pada Jun depan.

Ia menerusi program ‘Everlasting Blooms’ yang bakal diadakan di Pavillion TMM2024, Dataran Pahlawan, Banda Hilir.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, tarikan terbaharu itu bakal melibatkan kesemua empat pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam Negeri Melaka dengan mempamerkan kreativiti masing-masing.

Jelas beliau, program tersebut juga diadakan bersempena ulang tahun ke-21 Bandaraya Melaka Bersejarah tahun ini.

“Program ini diadakan juga sempena mengambil tema dalam sambutan Hari Landskap Negara akan mempamerkan pelbagai jenis landskap bunga dan pelbagai tarikan lain sempena TMM2024.

“Menerusi program pelancongan ini, kesemua PBT akan menonjolkan bahawa Melaka merupakan sebuah negeri yang mengutamakan keindahan landskap dengan pelbagai jenis tanaman bunga yang menarik.

“Ia merupakan antara program dikelolakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan kerjasama Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka sempena TMM2024,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Bacaan Yasin Perdana Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-21 Bandaraya Melaka Bersejarah Tahun 2024 di Masjid Tun Mohd Khalil Yaakob, Tanjung Minyak, di sini, malam tadi.

Img 20240510 Wa0000
RAIS

Sambutan yang dihadiri lebih 1,000 umat Islam itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman serta tetamu lain.

Program tersebut dimulakan dengan majlis bacaan Yasin dipimpin Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan disusuli solat maghrib serta isyak berjemaah.

Turut diadakan penyampaian sumbangan kepada masjid, sekolah agama serta pelajar dan sekolah tahfiz di bawah pentadbiran MBMB.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

235
Kongsi :
Previous post Melaka sedia lebih 20 program untuk belia
Next post Insya-Allah tiada masjid, surau daif di Melaka
Ubah saiz-+=