Melaka sedia lebih 20 program untuk belia

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDA HILIR 10 Mei – Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Negeri Melaka akan diadakan pada 17 hingga 19 Mei ini yang berjalan serentak di seluruh negara.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam berkata, HBN peringkat negeri itu akan berlangsung di beberapa lokasi seluruh negeri antaranya di Mahkota Parade dan Mini Stadium Jasin.

Menurut beliau, lebih 3,000 golongan belia seluruh negeri disasar akan berhimpun pada program tiga hari itu dengan pelbagai pengisian yang direncanakan.

“Antara pengisian program untuk HBN peringkat negeri ini, kita sasarkan lebih 20 program merangkumi aktiviti riadah, sukan, ilmiah dan kemasyarakatan akan diadakan khusus untuk golongan belia termasuk pelajar berusia 13 tahun ke atas.

“Kemuncak HBN peringkat negeri ini akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada 18 Mei ini jam 4 petang di Mini Stadium Jasin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi sidang media Majlis Pra Pelancaran Sambutan HBN Peringkat Kebangsaan di Perkarangan Menara Taming Sari, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian; Pembangunan TVET negeri merangkap Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta kenamaan lain.

Terdahulu, Adam Adli memaklumkan HBN Peringkat Kebangsaan akan diadakan di Melaka pada 24 hingga 26 Mei ini dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan merasmikan sambutan terbabit pada 25 Mei ini di Dataran Pahlawan, Banda Hilir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

180
Kongsi :
Previous post Ulang Tahun ke-21 Bandaraya Melaka Bersejarah disambut penuh kesyukuran
Next post ‘Everlasting Blooms’ warnai Melaka Jun depan
Ubah saiz-+=