Inti pati ucapan PM Anwar semasa pembentangan kajian separuh penggal RMK12

Masa Membaca:5 Minit, 4 Saat

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Berikut antara inti pati ucapan Perdana Menteri.

*Gagasan dalam KSP RMK12 bermatlamatkan โ€œMalaysia MADANI: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggiโ€.

*KSP RMK12 merestui usaha kerajaan untuk merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara yang mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, wadah Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat serta Agenda Pembangunan Mampan 2030.

*RMK12 akan dijajarkan semula dengan visi Ekonomi MADANI, yang menyasarkan pemerkasaan dan merancakkan ekonomi negara untuk tempoh 10 tahun.

*Kerajaan komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi 2023 hingga 2025 di bawah RMK12.

*Kerajaan akan membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion di bawah RMK12 dan menambah siling sebanyak RM15 bilion, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan RM415 bilion.

*Peningkatan bertujuan untuk menambah keperluan bagi membiayai bidang keutamaan rakyat, memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat.

*Dasar Inovasi Sosial akan dilancarkan pada November ini bagi menggalakkan daya cipta pada peringkat akar umbi.

*Kerajaan akan membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber, lantas menjamin pulangan yang maksimum buat negara.

*Kerajaan menyasarkan Malaysia menjadi peneraju dalam pasaran halal antarabangsa dengan nilai eksport halal sebanyak RM63.1 bilion pada 2025.

*Malaysia akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF2023) ke-15 di Kuala Lumpur pada Disember ini bagi mencerakinkan permasalahan dalam usaha Malaysia mempelopori peningkatan amalan sistem kewangan Islam yang syumul.

*Kerajaan sedia dana RM346 juta dalam tempoh RMK12 untuk menarik penglibatan golongan belia dalam aktiviti kreatif yang menawarkan pendapatan yang tinggi.

*Kerajaan akan menyediakan RM60 juta dana pembiayaan peluang kedua kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan inovatif dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

*Kebijakan perindustrian mengikut geografi akan diberikan penekanan termasuk Projek Ladang Air Manis di Kulai, Johor dan projek Taman Biopolimer Kertih, Terengganu.

*Kerajaan telah lulus peruntukan RM1.1 bilion untuk tempoh 2023 hingga 2025 dalam usaha memperkasa keselamatan dan memperoleh manfaat daripada potensi pembangunan ekonomi rentas sempadan.

*Kerajaan bertekad untuk merapatkan nisbah jurang pendapatan antara desa dengan bandar, daripada 0.57 pada tahun 2022 kepada 0.67 pada 2025.

*Pembangunan wilayah Sabah dan Sarawak akan terus diberikan tumpuan.

* Projek pembangunan sistem Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan naik taraf sistem bekalan elektrik di Gugusan Felda Sahabat Sabah dengan kos RM195 juta akan dilaksanakan.

* Lebih banyak projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak. Setakat ini, 64 projek sedang dalam pelaksanaan di Sarawak dan 43 projek di Sabah.

* Sebuah pusat darah wilayah akan dibina di Sabah, manakala Makmal Kesihatan Awam dan Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan akan dibina di Kuching, Sarawak.

*Sejumlah RM1.5 bilion telah diluluskan untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini juga.

*Kerajaan akan memperkukuh penyediaan perlindungan sosial kepada rakyat melalui Reformasi Perlindungan Sosial yang sedang dikaji.

*Bantuan tunai dan program Rahmah akan diteruskan dan ditambah baik bagi memastikan jaringan keselamatan sosial terus ditingkatkan.

*Satu kongres ekonomi Bumiputera akan diadakan pada Januari 2024 bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.

*Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 berkaitan pengisytiharan pemunya manfaat sedang disemak semula bertujuan untuk memperkukuh ketelusan pemilikan saham.

*Dana wakaf akan diwujudkan menerusi kerjasama agensi berkaitan dengan Yayasan Wakaf MADANI sebagai pendekatan baharu dalam membangunkan ekonomi Islam.

*Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia akan diluncurkan dengan tumpuan untuk meningkatkan kebolehpasaran belia bagi mereka yang menganggur dan terlibat dalam sektor pekerjaan tidak formal.

*1,200 klinik daif di seluruh negara akan dinaik taraf untuk tempoh 2023 hingga 2025.

*Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Institut Kesihatan Mental bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan.

* Projek rintis Perumahan Inklusif MADANI akan dibangunkan untuk golongan sasar di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

*Peruntukan sebanyak RM40 juta disediakan kepada persatuan sukan komuniti berdaftar bagi menganjurkan acara sukan bagi memupuk perpaduan dan membina masyarakat yang aktif dan sihat.

*Langkah untuk menggalakkan wanita kekal atau kembali bekerja akan ditingkatkan melalui penyediaan kemudahan dan sokongan yang diperlukan seperti penjagaan anak, insentif kewangan dan waktu bekerja fleksibel.

*Maklumat mengenai pencari kerja dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) akan disepadukan dalam portal MyFutureJobs, manakala prosedur operasi standard pengambilan OKU dalam perkhidmatan awam akan ditambah baik.

*Dasar Pendidikan Digital (DPD) akan dilancarkan bagi melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0 (4IR).

*Kerajaan melalui inisiatif Akademi dalam Industri (AiI) akan menyediakan dana khusus berjumlah RM209 juta bagi membantu belia menceburkan diri dalam sektor pembuatan.

*Seramai 50,000 belia disasarkan mendapat pekerjaan berkemahiran dengan Sijil Kemahiran Malaysia pada akhir RMK12.

*Kerajaan bersetuju untuk memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan melalui perolehan aset tambahan seperti kenderaan perisai, dron, Littoral Mission Ship, helikopter dan pesawat tempur ringan.

*Kerajaan akan meminda undang-undang sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan memerangi kegiatan jenayah siber.

*Kerajaan akan menggubal undang-undang mengenai perubahan iklim bagi mengawal selia pelaksanaan kebijakan bagi memenuhi kewajipan perubahan iklim negara.

* Akta berkaitan pencemaran sumber air dan industri perkhidmatan air akan dikaji semula agar hukuman yang setimpal terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.

*Pusat Bencana Geologi Negara akan ditubuhkan pada akhir tahun ini bagi memantau tahap keberkesanan sistem amaran awal bencana.

*Usaha khusus bagi melindungi spesies Harimau Malaya (panthera tigris jacksoni) yang kini kian terancam akan dipertingkatkan.

*Prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tatakelola (ESG) yang merangkumi dasar dan rangka kerja kawal selia serta khidmat sokongan akan dibangunkan bagi menggalakkan perniagaan menerima pakai amalan perniagaan yang mampan.

*Penstrukturan semula subsidi elektrik, diesel dan petrol serta bantuan sosial lain akan dilakukan. Rakyat yang kurang bernasib baik kekal menjadi keutamaan kerajaan.

* Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti akan diperkenalkan sebagai panduan tatakelola bebas rasuah kepada semua entiti dalam sektor awam dan swasta.

*Kerajaan menyasarkan kedudukan ke-25 teratas buat Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah sedunia dalam tempoh 10 tahun.

*Penggunaan Identiti Digital (ID) Nasional secara rintis bagi pengesahan identiti yang selamat dan terpelihara dijangka dilancarkan pada 2025.

*Jawatankuasa Khas Pemantauan KSP RMK12 akan ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan kebijakan KSP RMK12.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1254
Kongsi :
Previous post Lapan fokus Bajet 2024 Negeri Melaka – KM
Next post Empat fokus inti pati Townhall Bajet 2024 Negeri Melaka – KM
Ubah saiz-+=