Empat fokus inti pati Townhall Bajet 2024 Negeri Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 11 September – Kerajaan Negeri memfokuskan empat inti pati menerusi Sesi Townhall Bajet 2024 Negeri Melaka bagi mencapai aspirasi utama negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, input dan idea yang diterima sepanjang sesi ‘townhall’ ini akan diperhalusi bagi penyediaan bajet tahunan Kerajaan Negeri.

“Pertama, mendapatkan pandangan, aspirasi dan cadangan secara langsung daripada rakyat, pengusaha industri setempat, pemimpin masyarakat serta jabatan dan agensi Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan.

“Kedua, memastikan bajet dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang merupakan penjelmaan denyut nadi rakyat serta merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat.

“Ketiga, menumpukan usaha mewujudkan sebuah negara yang maju, makmur dan bersatu padu dengan kemakmurannya dikongsi secara hasil adil dan saksama oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kumpulan pendapatan, kaum, bangsa dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Townhall Bajet 2024 Negeri Melaka Bersama YAB Ketua Menteri Melaka di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan barisan Exco Kerajaan Negeri serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Ab Rauf berkata, bagi initipati keempat pula adalah memfokuskan penyaluran peruntukan bagi memastikan pembangunan ekonomi lestari tanpa berlaku sebarang pembaziran dan pembangunan yang sia-sia.

“Saya percaya, inilah platform terbaik bagi mendapatkan idea baharu dan segar kerana penglibatan semua pihak.

“Ini dijangka mampu menyediakan bajet yang inklusif merentas keperluan pelbagai peringkat masyarakat Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

934
Kongsi :
Previous post Inti pati ucapan PM Anwar semasa pembentangan kajian separuh penggal RMK12
Next post Mohon bina lebih banyak PPR menerusi Bajet 2024
Ubah saiz-+=